suria

“Janji selalu ada masa dengan suami” - Hasrat Fasha Sandha perlahankan kerjaya selepas kahwin belum terlaksana

Fasha pernah merancang untuk perlahankan aktiviti seni selepas berkahwin.

PELAKON Fasha Sandha memberitahu dia pernah merancang untuk memperlahankan karier seninya selepas berkahwin dengan Aidil Aziz.

Bagaimanapun, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 35, berkata, dia belum dapat meneruskan hasrat itu berikutan rezeki selepas berkahwin tidak pernah putus.

ARTIKEL BERKAITAN: Fasha Sandha belum berhijab, masih belajar “Perkara begini tak boleh berjanji, iman manusia kadang-kadang rapuh”

ARTIKEL BERKAITAN: Kesibukan kerja punca Aidil Aziz belum sempat bawa Fasha Sandha berbulan madu

“Syukur Alhamdulillah walaupun usia saya sudah 35 tahun tapi masih diperlukan dalam industri. Kalau ikutkan perancangan awal saya selepas kahwin memang nak perlahankan aktiviti seni tapi banyak dapat rezeki.

“Tapi apa-apa pun saya anggap ini adalah rezeki anak-anak dan rezeki selepas kahwin. Bak kata suami, janji kena selalu ada masa dengannya,” kata Fasha kepada mStar.

Aidil tidak kisah  Fasha kembali aktif dalam lakonan selepas berkahwin namun kena sentiasa ada masa untuknya.

Fasha ditemui ketika majlis pra tonton dan sidang media filem televisyen Suatukala: Timun Mas & Ijo di TGV One Utama, Petaling Jaya pada Isnin.

Fasha dan suaminya yang juga pelakon Aidil Aziz berkahwin pada 30 Mac lalu dan dia mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinan pertama iaitu Putra Rayfal, 6, dan Putri Raysha Jemyma, 5.

Dalam pada itu, pelakon drama Semua Salahku ini memberitahu dia tidak akan berhenti belajar mengenai lakonan biarpun sudah 16 tahun berada dalam industri seni.

Kata Fasha, seseorang pelakon perlu sentiasa mencari kelemahan diri untuk diperbaiki tahap lakonan mengikut peningkatan usia.

Filem televisyen yang menggabungkan pelakon Indonesia dan Malaysia bakal ditayangkan di Astro First bermula 1 Ogos depan.

"Apabila sampai di satu peringkat usia, tahap lakonan akan berbeza terutamanya daripada segi ekspresi wajah, jadi saya perlu tambah ilmu dan skil lakonan.

"Saya tak mahu sekadar buat kerja tetapi penonton tak rasa lakonan yang disampaikan sebab itu saya masih pergi kelas atau kursus lakonan walaupun dah 16 tahun berlakon," ujarnya.

Sementara itu, berkongsi mengenai filem televisyen Suatukala: Timun Mas & Ijo, Fasha mengakui watak antagonis sebagai Mak Andeh mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.

"Agak sukar untuk lakonkan watak Mak Andeh sebab itu bukan karakter diri sendiri tapi saya anggap ia satu cabaran untuk saya dan Alhamdulillah pengarah juga banyak membantu,” katanya.

Selain Fasha, antara barisan pelakon yang membintangi filem tersebut terdiri daripada dua pelakon dari Indonesia iaitu Prisia Nasution dan Vanka serta pelakon Malaysia Fikry Kiki dan Kishok Kumar.

Fasha Sandha, Aidil Aziz

Artikel Lain