Remy Ishak tak gopoh cari isteri - “Pada usia ini banyak benda saya nak kena susun”

Remy mahu membuat persediaan untuk kehidupan yang lebih baik di masa hadapan sebelum berkahwin. Foto: KAMARUL ARIFFIN

PELAKON Remy Ishak tidak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga sebelum segala persiapan khususnya berkaitan kewangan dan perancangan dalam kehidupan berjaya diatur dengan baik.

Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 37, berkata dia mahu isteri dan anak-anaknya mempunyai kehidupan yang selamat dan terjamin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya belum mampu…” - Remy Ishak putus tunang!

"Pada usia saya ini, banyak benda saya nak kena susun. Daripada sudut kewangan, kehidupan, apa nak buat 10 tahun akan datang, apa nak buat apabila ada keluarga dan anak-anak.

"Saya perlu membuat persediaan daripada sekarang supaya isteri dan anak-anak saya nanti rasa terjamin dan selamat hidup dengan saya.

Remy merancang untuk menceburi bidang pertanian dan penternakan.

"Apabila dah berkahwin nanti, saya tak boleh fikir diri sendiri sahaja sebab dah ada keluarga yang perlu dijaga," kata Remy kepada mStar.

Remy ditemui pada majlis pelancaran filem Sangkar di Battle Arena Malaysia, Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya.

Sebagai persediaan bagi menghadapi masa depan, Remy mempunyai perancangan untuk menceburi bidang pertanian dan penternakan.

Sebelum ini, Remy pernah mengikat tali pertunangan dengan ahli perniagaan bernama Ezza Yusof pada Mei 2017.

Bagaimanapun menerusi laporan mStar pada 20 Mac lalu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda ini mengesahkan dia dan Ezza sudah tidak mempunyai apa-apa ikatan sejak Februari lalu.

Remy mahu berehat  daripada bidang seni menjelang Oktober depan.

Dalam pada itu, Remy memberitahu dia ingin berehat dan tidak mahu mengambil sebarang tawaran buat sementara waktu bermula Oktober depan.

Bagaimanapun, Remy tidak mahu meletakkan tempoh percutiaannya memandangkan dia seorang yang suka bekerja.

"Saya fikir selepas bulan September ini, saya nak berehat sekejap dan tak nak ambil sebarang tawaran. Sejak awal tahun sampai sekarang saya tak dapat rehat lagi.

"Jadual padat dengan promosi filem yang berlanjutan sehingga September. Saya ada terima tawaran tapi saya rasa memang nak rehat betul-betul.

"Berapa lama tu, bergantung pada mood. Saya ini seorang yang suka bekerja, kadang-kadang rasa nak rehat sebulan tapi baru seminggu dah tak boleh duduk diam dan nak mula kerja," ujarnya.

Remy Ishak, Sangkar

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Hajiji angkat sumpah Ketua Menteri Sabah ke-16