suria

“Betapa pentingnya Farid untuk saya” - Diana Danielle hargai masa bersama sementara hukuman penjara ditangguh

Diana mengakui lebih menghargai hubungannya dengan suami, Farid Kamil.

KONTROVERSI membabitkan pelakon Datuk Farid Kamil hingga dijatuhkan hukuman penjara kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah mematangkan hubungan rumah tangga yang dibina bersama aktres Datin Diana Danielle.

Menurut Diana, 28, detik-detik hitam yang berlaku menjadikan dia dan Farid lebih menghargai antara satu sama lain.

"Saya sebagai isteri tahu Farid seorang suami dan bapa yang baik, saya bersyukur kita masih dapat menikmati saat gembira bersama.

ARTIKEL PENUH: Diana Danielle mengaku banyak buat silap, tak menyesal jadi ibu usia muda

ARTIKEL PENUH: “Be strong sis…”- Farid Kamil dipenjara 9 bulan, peminat minta Diana Danielle tabah!

"Hubungan kami lebih matang, mula menghargai antara satu sama lain dan saya tahu betapa pentingnya Farid dalam hidup saya. Saya masih ingat apa Hanis Zalikha pernah cakap pada saya dahulu... jika kita hadapi segala dugaan dengan sabar, Allah akan beri sesuatu lebih manis.

"Segala yang berlaku membuatkan kami lebih rapat dan tenang menerima apa sahaja ujian," katanya kepada mStar.

Diana bahagia bergelar isteri dan ibu kepada dua cahaya mata.

Diana ditemui semasa pelancaran produk, pertunjukan fesyen dan anugerah kecemerlangan AS Legacy yang diadakan di Glam Hall, Mercu Mustapha Kamal, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Menerusi laporan mStar pada 19 Jun lalu, Farid dibenarkan menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dikenakan terhadapnya atas tuduhan dadah.

Farid dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu dan telah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 35 hari bermula 15 Mei.

Sementara itu, pelakon filem Gol & Gincu 2 ini berkata dia bukanlah seorang isteri yang kuat seperti dibayangkan peminat.

Farid dibenarkan menangguhkan hukuman penjara sembilan bulan.

Namun, sokongan moral orang sekeliling terutamanya ibu, Norsiah Ramli membuatkan dia menjadi lebih cekal berdepan ujian hidup.

"Nak kata saya kuat, ada juga hari-hari yang saya terkesan... cumanya saya ada ibu yang buatkan saya kuat.

"Kalau orang kata saya kuat sebenarnya tidak! tapi sokongan orang sekeliling ini yang membuatkan saya kuat.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang tak jemu memberi sokongan dan mendoakan yang baik-baik untuk kami," ujarnya.

Terdahulu, Diana berkahwin dengan  Farid Kamil pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad yang kini berusia enam tahun dan Nur Aurora berumur empat tahun.

Diana Danielle, Farid Kamil

Artikel Lain