“Benda dah lepas, biarkan ia berlalu” - Pengarah drama 'Bukan Cinta Aku' mengaku silap, terlepas pandang - Hiburan | mStar

“Benda dah lepas, biarkan ia berlalu” - Pengarah drama 'Bukan Cinta Aku' mengaku silap, terlepas pandang

Ejump akui berlaku kesilapan yang tidak disengajakan dalam drama Bukan Cinta Aku.

IBARAT rumah siap, pahat masih berbunyi. Drama Bukan Cinta Aku yang berakhir Rabu lalu terus menjadi bahan ketawa netizen kerana beberapa babak di dalam karya tersebut kelihatan 'cacat' dan tidak kemas.

Paling ketara adegan melibatkan pelakon Syafiq Kyle, Janna Nick dan Baim Wong di sebuah pusat perubatan yang digambarkan menerusi drama tersebut berlaku di Indonesia berdasarkan jalan ceritanya.

Namun penonton yang mengikuti drama 20 episod itu menyedari terdapat kesilapan akibat kelalaian pihak produksi kerana poster di dinding di pusat perubatan tersebut jelas tertera tulisan 'Hospital Pakar Kuala Terengganu'.

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak jimat kos pun agak-agaklah” - Netizen kantoikan drama 'Bukan Cinta Aku', babak di Indonesia tapi berlakon di Terengganu

Menurut Ejump Mohd selaku pengarah drama tersebut, dia mengakui kesilapan berkenaan berlaku secara tidak sengaja.

Ejump bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara memalukan itu.

Netizen mempersoalkan babak yang kononnya dilakonkan di Indonesia namun ia hanya dibuat di Kuala Terengganu.

"Saya akui memang ada berlaku kesilapan dan untuk kesemua kesilapan-kesilapan yang berlaku itu memang tidak disengajakan.

"Tiada kesilapan yang disengajakan. Sebenarnya buat masa ini, saya tak nak beri sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

"Benda itu pun dah lepas dan biarkan la ia berlalu," kata Ejump ketika dihubungi mStar pada Khamis.

Mengenai penghujung cerita itu, sememangnya ia begitu mengikut naskah yang ditulis oleh Erma.

Ejump Mohd

Pengarah

Selain itu, ada juga segelintir netizen yang mengkritik pengakhiran drama tersebut yang dianggap tidak menarik.

Mengulas mengenainya Ejump menjelaskan pengakhiran cerita tersebut hanya mengikut naskhah yang ditulis penerbit drama itu, Erma Fatima.

"Mengenai penghujung cerita itu, sememangnya ia begitu mengikut naskhah yang ditulis oleh Erma. Sebenarnya segalanya telah terjawab masa pemulaan cerita," katanya.

Drama yang ditayangkan menerusi saluran TV3 bermula pada 5 Jun dan berakhir pada Rabu lalu.

Artikel Lain