suria

Kilafairy dibela sugar daddy? “Kita tak boleh tutup mulut orang” - Netizen pelik kerap ulang-alik luar negara

PENYANYI Kilafairy menafikan kehidupannya ditaja seseorang atau ‘sugar daddy’ seperti yang didakwa segelintir pihak apabila melihat dia kerap menghadiri pelbagai acara di luar negara.

Menurut Kila atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 27, dia sudah lali dengan kritikan negatif dan enggan mengambil serius mengenai tuduhan netizen itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf saya tak mahu ditemubual” - Kata Kilafairy kemudian berlalu pergi, isu cium kumpulan Blue

“Kita tidak boleh tutup mulut orang sebab mereka tetap akan cakap apa yang mereka mahukan tapi sebenarnya semua acara dan majlis yang saya hadiri mewakili Malaysia.

“Setiap syarikat yang menjemput itu sendiri yang menaja segalanya. ‘Sugar daddy’ nak selit pun dah tak ada tempat.

“Saya dah biasa dengan kritikan negatif dan terlalu biasa sangat sehinggakan saya hanya mampu gelak dan biarkan sahaja,” kata Kila kepada mStar.

Kilafairy lali komen negatif netizen.

Kila ditemui ketika majlis perasmian produk keluarannya iaitu Kilafit by Kilafairy di Forest Valley Hall, Cheras, pada Khamis.

Sementara itu, Kila enggan mengulas kritikan netizen mengenai penampilannya memakai baju bercorak kulit ular sawa yang digayakan ketika menghadiri acara sebuah produk komestik di New York baru-baru ini.

Kata anak kepada penyanyi Rohana Jalil ini, dia memberi ruang kepada netizen untuk meninggalkan komen di foto tersebut namun tidak pernah membaca kata-kata negatif yang terdapat pada ruangan komen itu.

“Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu, saya pejamkan mata dan telinga sahaja. Saya hanya pakai apa yang saya selesa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kila meluahkan rasa teruja dapat mengeluarkan produk kurus jenamanya iaitu Kilafit yang mengutamakan kandungan semula jadi.

“Alhamdulillah, produk saya mendapat sambutan sejak mula dipasarkan pada enam bulan lalu. Sebab utama saya begitu dedikasi mengeluarkan produk kerana ia menggunakan kandungan semula jadi.

“Memandangkan saya suka makan, jadi saya kena hasilkan satu produk yang menggunakan bahan semula jadi dan tidak memberi kesan sampingan yang teruk pada dalaman badan,” ujarnya.

Kilafairy

Artikel Lain