“Rapatkan ukhwah berkumpul hari raya kedua”- Amalan Norman, Abby Abadi setiap tahun - Hiburan | mStar

“Rapatkan ukhwah berkumpul hari raya kedua”- Amalan Norman, Abby Abadi setiap tahun

Keluarga besar Norman dan Abby Abadi. Foto Instagram @normanhakim_786

PELAKON Norman Hakim memberitahu dia dan bekas isteri, Abby Abadi berkumpul dan beraya bersama keluarga besar mereka pada hari raya kedua pada setiap tahun.

Menurut Norman, 43, rutin raya bersama itu telah diamalkan sejak tujuh tahun lalu dan menjadi kemestian setiap kali tibanya Aidilfitri.

"Hari raya pertama saya dan Abby akan beraya di rumah ibu bapa masing-masing, raya kedua baru keluarga besar kami akan berkumpul di Kuala Lumpur dan meraikan Syawal bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini peluang saya berdakwah” - Norman Hakim tak lokek tip pulihkan hubungan ibu-bapa bercerai

"Raya ketiga barulah masing-masing pulang beraya bersama keluarga sendiri. Saya balik ke kampung halaman isteri dan Abby pulang ke kampung suami.

"Alhamdullilah sudah tujuh tahun kami mengamalkan konsep raya begini dan semuanya berjalan lancar," katanya kepada mStar.

Norman kerap menganjurkan aktiviti bersama keluarga.

Sementara itu, Norman mengakui pada awalnya agak sukar untuk dia mengumpulkan kedua-dua belah keluarga.

Bagaimanapun, kesibukan bukan penghalang kerana apa yang dilakukan itu bermula dengan niat yang baik dan ikhlas.

"Awal-awal dulu susah juga nak set masa dan cari waktu yang sesuai. Tapi lama-kelamaan dah jadi habit dan selesa begini.

"Kami sentiasa berusaha untuk kumpul bersama keluarga dan niat untuk buat benda rapatkan ukhuwah... akhirnya tujuh tahun kami berjaya lakukan aktiviti raya bersama ini," ujarnya.

Norman bersama isteri Memey Suhaiza dan anak mereka.

Kisah keakraban hubungan antara Abby, Norman dan isteri Memey Suhaiza mendapat perhatian netizen di laman sosial yang seronok melihat mereka berdua masih boleh duduk bersama biarpun sudah bercerai.

Abby dan Norman bercerai pada 2008 dan menerusi perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 15, dan Maria Danisha Hakim yang berusia 11 tahun.

Abby kemudiannya bertemu jodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 2013 sebelum bercerai selepas 11 bulan berumah tangga.

Dia kemudian berkahwin dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 14 Ogos 2015 dan bahagia sehingga kini.

Norman Hakim , Abby Abadi , Memey Suhaiza

Artikel Lain