suria

Siti Sarah menanti lagu ciptaan Sufian Suhaimi untuk single baharu

Sarah ada meminta lagu daripada Sufian secara peribadi ketika bertemu di acara hiburan.

PENYANYI Siti Sarah mengakui dia ada meminta lagu ciptaan penyanyi Sufian Suhaimi secara peribadi ketika bertemu di sebuah majlis hiburan baru-baru ini.

Sarah atau nama sebenarnya Siti Sarah Raisuddin, 35, berkata dia berharap lagu Sufian itu dapat memberi keajaiban kepadanya.

Malah, penyanyi lagu Semakin ini juga ada meminta pihak syarikat pengurusannya untuk bertanya kepada Sufian mengenai perkara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat 50 buah lagu, karya Shuib juga dipilih Siti Sarah


Sarah harap keajaiban dengan Sufian.

"Secara jujurnya saya ada minta lagu dekat beberapa orang. Tapi secara khususnya memang saya ada minta daripada Sufian.

"Macam kalau saya jumpa dia mana-mana acara hiburan, saya akan tanya terus padanya. Malah, kali ini saya minta pihak syarikat pengurusan tanya dia juga.

"Supaya perkara itu lebih serius sebab saya memang menantikan keajaiban dengan Sufian," kata Sarah kepada mStar.

Dalam pada itu, isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu ini turut memberitahu dia sukar untuk mendapat lagu yang sesuai dengen citarasanya.

Sarah akui sukar mencari lagu yang menepati seperti yang dimahukan.

Bagaimanapun menurut Sarah, dia turut membuka peluang kepada komposer baharu yang berbakat untuk lagu baharunya.

"Memang agak sukar juga nak mencari lagu yang menepati apa yang saya mahukan. Sebenarnya banyak lagu yang dapat tapi pihak pengurusan saya akan tapis dahulu.

"Kalau ikutkan, saya bukan mencari orang yang ada pengalaman dalam membuat lagu. Sebenarnya saya tak kisah pun sesiapa, janji saya nak lirik yang membunuh jiwa," ujarnya.

Siti Sarah, Sufian Suhaimi

Artikel Lain