suria

Alif Satar hafal lagu Raihan sejak umur 6 tahun, akhirnya impian masa kecil tercapai

Raihan dan Alif Satar bergandingan dalam lagu #Sesungguhnya2019.

PENYANYI Alif Satar meluahkan rasa teruja apabila dia berpeluang bekerjasama dengan kumpulan nasyid, Raihan menerusi lagu nyanyian semula (cover) berjudul #Sesungguhnya2019.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 29, berkata dia telah memasang impian untuk bergandingan bersama Raihan sejak usianya masih kanak-kanak.

"Saya sungguh teruja dapat berduet bersama kumpulan nasyid nombor satu Malaysia Raihan. Bagi saya, ia merupakan impian kanak-kanak yang tercapai.

"Saya minat kumpulan Raihan sejak berusia enam tahun, ibu bapa saya yang melanjutkan pelajaran di London ketika itu turut bawa kaset lagu Raihan. Sepanjang empat tahun di sana, saya menyanyi dan hafal lagu-lagu Raihan.

Alif Satar hafal lagu nasyid Raihan.

"Kalau nak tahu, lagu Sesungguhnya dirakam pada tahun 1997, ketika itu saya baharu berusia tujuh tahun. Lagu ini ada kenangan tersendiri buat peminat Raihan," katanya.

Sementara itu, Raihan pula memberitahu gandingan bersama Alif merupakan satu peluang keemasan yang telah lama dinanti-nantikan.

"Ia bagaikan bulan jatuh ke riba kerana Alif merupakan artis muda yang mempunyai imej yang bersih dan sesuai untuk berduet sama.

"Keterujaan Alif membuatkan Raihan amat berbesar hati untuk digandingkan bersama-sama dalam lagu ini," kata Raihan.

Bergabung suara dalam lagu terbaharu.

Lagu Sesungguhnya diberi nafas baharu kerana melodi dan liriknya sesuai untuk diketengahkan pada masa kini.

Ia menerima sentuhan The Locos dan diolah oleh Efry dan Tam Cobain serta iringan seruling oleh Faliq dan Yuri selaku pemain drum.

Dalam perkembangan yang lain, Alif bakal mengadakan persembahan amal bagi mengutip dana untuk Pertubuhan Komited Malaysia pada 17 Mei ini pukul 4 petang di Bora Ombak Putrajaya.

Raihan juga merupakan artis jemputan untuk persembahan amal ini dan buat pertama kali mereka akan mengadakan persembahan bersama lagu #Sesungguhnya2019.

Lagu #Sesungguhnya2019 boleh didengar melalui streaming platform seperti Sportify, JOOX, iTunes dan sebagainya.

Alif Satar, Raihan

Artikel Lain