Alif Satar syukur isteri hamil semula selepas alami keguguran - Hiburan | mStar

Alif Satar syukur isteri hamil semula selepas alami keguguran

Alif dijangka timang cahaya mata ketiga pada Oktober depan.

PENYANYI dan pengacara Alif Satar mendedahkan isterinya Sha Dila mengalami keguguran ketika kandungan cahaya mata ketiganya memasuki lapan minggu pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 29, bersyukur apabila isterinya disahkan hamil semula tidak lama selepas itu dan kini kandungan sudah memasuki empat bulan.

“Pada awal tahun ini, isteri saya mengalami keguguran anak ketiga kami. Ketika itu usia kandungannya sudah memasuki lapan minggu.

“Tapi sebenarnya saya dan isteri sudah reda dengan ujian tersebut. Malah, saya bersyukur apabila dapat tahu isteri kembali mengandung anak kami yang keempat dan menggantikan kehilangan itu,” kata Alif kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Jatuh papan luncur, tulang bahu Alif Satar terkehel

Alif bersama isteri dan dua anaknya.

Penyanyi lagu Sesungguhnya itu ditemui ketika majlis pelancaran Salam Today Web di Empire Hotel Subang, Subang Jaya, pada Rabu.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Red Velvet ini memberitahu dia juga berasa teruja menanti kehadiran orang baru dalam hidupnya pada Oktober depan.

Menurut Alif, dia mengharapkan dikurniakan cahaya mata lelaki memandangkan sudah mempunyai dua orang anak perempuan.

“Alhamdulillah, kandungan isteri sihat dan dijangka melahirkan anak pada Oktober nanti. Jika diikutkan saya mahu cahaya mata lelaki tetapi tidak kisah jika kami dapat anak perempuan nanti.

“Saya juga berdebar dan teruja nak menanti keputusan ujian imbasan kandungan dari doktor pada jumaat ini,” ujarnya.

Menerusi perkahwinan dengan Sha Dila sejak September 2014 mereka dikurniakan dua anak perempuan Alisha Anugerah, 4, dan Ariana Mecca yang kini berusia dua tahun.

Alif Satar

Artikel Berikut

Artikel Lain