suria

“Sedia macam mana pun tetap beri kesan mendalam” - Suami reda pemergian Wafa Abdul Kadir

Suami kepada Allahyarham Wafa Abdul Kadir iaitu Tajul Faizal Tamimuddin reda dengan pemergian isteri tersayang.

SUAMI kepada pelakon Wafa Abdul Kadir memberitahu kesihatan Allahyarham sudah merosot sejak dua bulan lalu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 1 pagi Sabtu.

Tajul Faizal Tamimuddin, 53, bagaimanapun memberitahu walaupun keadaan isterinya lemah namun Wafa menunjukkan semangat untuk terus melawan penyakitnya.

"Tanda-tanda itu memang ada apabila doktor memberitahu kesihatannya mula merosot dan minta kami bersedia dengan sebarang kemungkinan selain membenarkannya pulang ke rumah.

"Allahyarham tetap nampak semangat melawan penyakitnya dan sepanjang tempoh itu dia tetap mendapatkan rawatan di hospital sebagai pesakit luar.

"Tetapi bersedia macam mana pun apabila tiba masanya ia tetap memberi kesan mendalam apabila kita kehilangan orang tersayang namun sebagai suami saya reda dengan ketentuan Allah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Wafa Abdul Kadir meninggal dunia

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur kira-kira pukul 11 pagi.

Sebelum ini, jenazah dibawa ke Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail pada 10 pagi untuk disembahyangkan.

Wafa, 53, menghembuskan nafas terakhirnya disamping suami, anak-anak dan ahli keluarga terdekat di kediamannya di Tropicana, Petaling Jaya.

Bercakap lanjut mengenai keadaan Allahyarham, Tajul berkata, keadaan Wafa mula mula lemah sejak pagi Jumaat sebelum meminta ahli keluarga dan kenalan rapat datang bertemu dengannya.

"Lebih kurang pukul 3 pagi arwah masih nampak okay walaupun lemah apabila dia beritahu hendak bangun dan mengiringkan badannya.

"Bagaimanapun kira-kira pukul 10 pagi Jumaat keadaannya sudah lemah dan saya mula meminta ahli keluarga datang.

"Daripada pengalaman dan tanda-tanda saya tahu harinya sudah tiba dan Alhamdulillah arwah pergi dengan tenang disamping semua keluarga," ujarnya.

Sementara itu, Tajul memberitahu dua tahun lalu Wafa pernah meluahkan hasrat untuk mengerjakan ibadah Umrah namun impian itu tidak terlaksana ekoran kesihatannya yang terjejas.

"Masa dia meluahkan hasrat itu saya buat solat istikarah dan saya mendapat petunjuk tidak baik serta memutuskan untuk tidak pergi.

Tajul menyifatkan arwah seorang yang penyayang dan tabah dalam melawan penyakitnya.

"Tidak lama kemudian arwah dimasukkan ke hospital kerana penyakitnya," katanya yang turut menyifatkan isterinya itu seorang yang penyayang dan tabah.

Wafa yang juga pelakon filem Azizah The Legend itu menghidap kanser ovari dan peritoneal tahap empat.

Kanser itu dikesan pada 2014 dan pada April 2015 beliau terpaksa membuang keseluruhan organ wanita iaitu ovari, tiub fallopio, rahim dan ormentum (lapisan yang menutup bahagian perut).

Allahyarham sudah menjalani 18 kali rawatan kemoterapi bagi mematikan sel kanser pada 2016.

Wafa ialah anak kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Talib.

Allahyarham mempunyai empat cahaya mata menerusi dua perkahwinan terdahulu iaitu Muhd. Luqman Yusof, Muhd. Hakiim Abd. Raouf, Muhd. Kamil Abd. Raouf dan Muhd. Adib Abd. Raouf.

Wafa Abdul Kadir

Artikel Lain