suria

Ras Adiba bergelar isteri Mohamed Azam dalam hiba tak dapat iringi pengebumian Wafa

Ras Adiba Radzi dan Mohamed Azam selamat bergelar suami-isteri pada Sabtu. Foto LOW LAY PHON

PERSONALITI televisyen Ras Adiba Radzi sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan Mohamed Azam Ali dengan dua kali lafaz dalam upacara pernikahan yang diadakan di Masjid Jamel Al-Khadijah, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Mohd Radzi Wahab dengan disaksikan Imam masjid berkenaan, Yahya Mat Husin kira-kira pukul 2.38 petang.

Ras, 51, menerima mas kahwin RM300 daripada Mohamed Azam namun jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Pihak pengantin perempuan menyerahkan lima dulang hantaran pada majlis tersebut manakal dibalas empat dulang daripada pengantin lelaki.

Ras ketika ditemui meluahkan rasa syukur perkenalan selama 34 tahun dengan pasangannya akhirnya membawa ke jenjang pelamin.

Cinta Ras dan Azam berputik ketika bertemu pada majlis reunion tahun lalu.

“Kami mula mengenali satu sama lain pada 1986 ketika sama-sama bekerja di TV3 ketika itu yang mana dia (Mohamed Azam) bertugas sebagai penerbit berita bahagian sukan.

“Kami bertemu semula ketika sama-sama menghadiri majlis reunion pada Disember tahun lalu... Perjumpaan semula itu memberi makna apabila kami mula kembali rapat,” ujarnya.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kali ketiga bagi Ras manakala kedua bagi Mohamed Azam.

Menerusi perkahwinan terdahulu Ras dikurniakan dua cahaya mata manakala Mohamed Azam mempunyai enam cahaya mata.

Hiba kehilangan sahabat Allahyarham Wafa

Sementara itu, mengulas mengenai Allahyarham Wafa Abdul Kadir yang meninggal dunia pagi Sabtu, Ras memberitahu terkilan tidak dapat menghadiri majlis pengebumian rakan baiknya itu.

Ras Adiba terkilan tidak dapat hadir ke pengebumian rakan baiknya Wafa Abdul Kadir yang meninggal dunia pada awal pagi Sabtu.

Bagaimanapun kata Ras, dia sempat menziarahi arwah pada Jumaat lalu di kediamannya yang terletak di Tropicana, Petaling Jaya.

“Saya sedih sangat tidak dapat mengiringi jenazah ke kubur pagi tadi kerana sibuk menguruskan majlis pernikahan saya... Anda nampak saya senyum tapi hati saya sedih kerana kehilangan kawan baik yang saya panggil Kak Long.

“Kami rapat sejak sama-sama masuk dalam industri. Saya bersyukur dapat jumpa dan menemaninya semalam daripada pukul 2 petang sampai ke malam.

“Banyak nasihat yang dia berikan kepada saya terutama dalam menjalani kehidupan harian,” ujarnya.

Wafa meninggal dunia pada pukul 1 pagi Sabtu akibat kanser ovari dan peritoneal dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur sekitar pukul 11 pagi tadi.

Artikel Lain