suria

Pengarah filem Ahmad Idham dilantik CEO Finas

Ahmad Idham dilantik sebagai Ketua Pengawai Eksekutif FINAS yang baharu.

TEKA-TEKI siapakah pengamal industri perfileman akan menerajui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) terjawab selepas pengarah dan penerbit filem, Ahmad Idham telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), agensi itu.

Ia diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pelantikan Ahmad Idham atau nama sebenarnya Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 45, adalah bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa pada Isnin lalu bagi menggantikan pemangku Ketua Pengarah Finas, Shakib Ahmad Shakir yang telah menjalankan tugas selama empat bulan yang lalu.

Shakib Ahmad ketika ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu.

Gobind dalam kenyataannya berkata, ia merupakan keputusan Lembaga Finas berdasarkan peruntukan dalam Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Dalam pada itu, KKMM turut mengucapkan terima kasih kepada Shakib Ahmad Shakir untuk perkhidmatannya dalam menjalankan tugasan sebagai pemangku jawatan tersebut.

Ahmad Idham mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri kreatif selama 25 tahun.

Gobind juga berharap Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu itu akan berkhidmat untuk meningkatkan usaha-usaha Finas bagi membangunkan industri ini.

"Saya juga berharap agar ahli-ahli lembaga FINAS akan memberikan kerjasama yang penuhkepada Ahmad Idham dalam melaksanakan pembaharuan berdasarkan hala tuju kerajaan," katanya.

Pengarah filem Hantu Wangan ini pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain itu, dia juga mempunyai kepakaran serta pengalaman dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun.

Idham turut pernah mencatat sejarah menjadi anak seni pertama dianugerahkan pangkat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada tahun lalu.

Sebelum ini, Idham ada menerima pangkat Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Angkatan Pertahanan Awam (APM) pada 16 Mac tahun lalu.

Ahmad Idham

Artikel Lain