suria

Farah Nabilah belum bertudung tapi peminat berdoa buatnya

Farah akan padam atau sekat akaun laman sosial yang meninggalkan komen negatif serta keterlaluan.

PELAKON Farah Nabilah memberitahu perniagaan tudung jenama Fawaardrobe adalah milik ibunya dan dia hanya membantu dari segi mempromosikan sahaja.

Menurut Farah, 27, dia bersyukur peminatnya sentiasa bersikap positif dan memberi sokongan terhadap perniagaannya biarpun dia masih belum berhijab.

Malah, peminat-peminat Farah turut mendoakan pelakon drama bersiri popular Titian Cinta itu akan memakai tudung suatu hari nanti.

"Fawaardrobe itu sebenarnya milik ibu. Saya hanya tolong-tolong sahaja. Buat masa sekarang, saya tengok peminat di IG sangat positif. Alhamdulillah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kemana pun populariti, Farah Nabilah mahu bantu masyarakat


Peminat mendoakan Farah memakai tudung satu hari nanti.

"Mereka tidak pernah cakap saya ni jual tudung tapi tak pakai tudung. Sebaliknya mereka mendoakan saya akan pakai tudung satu hari nanti," katanya kepada mStar Online.

Farah mengakui ada juga segelintir mereka yang meninggalkan komen negatif namun dia mengambil langkah untuk memadam sahaja komen tersebut.

Kata Farah, ramai netizen menggunakan platform media sosial dan hak bebas bersuara secara salah dan hanya untuk menghina orang lain.

"Negatif itu tetap ada tapi dari dulu saya amalkan sikap tengok dan padam. Kalau keterlaluan saya akan sekat dia.

"Untuk diri saya juga kalau tengok, kita jadi negatif. Mereka ni dah salah guna hak bebas bersuara. Mereka gunakan bukan untuk cakap benda betul tapi untuk menghina orang," ujarnya.

Farah mahu terbitkan filem yang berkualiti.

Dalam pada itu, Farah terpaksa menangguhkan hasratnya untuk menerbitkan sebuah filem pada tahun ini disebabkan masih belum ada skrip yang menepati cita rasanya.

Bagi pelakon drama Cik Reen Encik Ngok Ngek ini, dia tidak mahu menerbitkan filem semata-mata disebabkan wang namun lebih memilih kualiti.

"Produksi saya masih lagi berjalan secara perlahan-lahan. Insya-Allah memang ada perancangan nak buat filem. Tapi tahun ini bukan tahun yang sesuai.

"Sebenarnya nak buat filem bukanlah mudah. Susah sebab benda itu besar. Saya nak terbitkan cerita yang bagus. Setakat ni belum dapat skrip yang tak menepati hati lagi.

"Saya tak nak buat semata-mata untuk duit. Boleh saja buat sebab duit dan terbitkan sekarang tapi macma kita sendiri tak puas dan cerita pun tak kualiti," katanya.

Pelakon berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Upper Iowa, kampus Malaysia itu menubuhkan syarikat produksi Fawaa Dean Films pada tahun lalu.

Farah Nabilah

Artikel Lain