suria

Eyra Hazali buat keputusan bertudung, tak mahu bapa ke neraka

Manis... Eyra Hazali kini tampil dengan imej berhijab. Foto Instagram @eyra.hazali

KEMUNCULAN pelakon Eyra Hazali menerusi program MeleTOP pada malam Selasa mendapat perhatian apabila dia tampil dengan imej bertudung mengejutkan peminat.

Eyra menjelaskan dia sebenarnya sudah setahun menyimpan hasrat untuk menutup aurat namun keputusan itu sentiasa tertangguh kerana terlalu berfikir mengenai kerjayanya selain tiada keyakinan diri.

Pun begitu kata pelakon drama bersiri Mr. Grey ini, ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh pada pagi Selasa dia terus nekad untuk menutup auratnya.

"Sebelum ini saya sudah mendapat hidayah dan terbuka hati untuk bertudung tetapi kerana fikirkan kerjaya dan tidak mahu main-main apabila memakai tudung membuatkan saya sering menangguhkan niat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Status tunangan penjaga gol, Eyra Hazali mahu 'kunci mulut' dahulu

Eyra memberitahu dia sudah menyimpan hasrat memakai tudung sejak setahun lalu.

"Alhamdulillah pagi tadi (semalam) perasaan saya terlalu kuat untuk memakai tudung dan saya bulatkan hati untuk memakai tudung," katanya.

Eyra ditemui selepas selesai program siaran langsung MeleTOP dan sidang media Anugerah MeleTOP 2019 yang diadakan di Astro pada malam Selasa.

Pelakon itu tersenarai sebagai 20 calon terbaik menerusi kategori Hos MeleTOP, Pelakon MeleTOP dan Artis Baharu MeleTOP.

Dalam pada itu, Eyra menyangkal dakwaan dia memakai tudung disebabkan permintaan tunangnya pemain bola Muhammad Haziq Nadzli selain bakal berkahwin pada penghujung tahun ini.

Ibu bapa Eyra paling gembira dengan perubahannya.

Sebaliknya katanya, apa dilakukan adalah kerana Allah selain tidak mahu menyebabkan tindakannya tidak bertudung akan menyebabkan bapanya diheret ke neraka akhirat kelak.

Ini kerana seseorang bapa itu akan bertanggungjawab setiap perbuatan anak perempuannya selagi mereka belum berumah tangga dan selepas berkahwin, menjadi peranan suami pula mendidik si isteri.

"Hidayah Allah sudah beri lama... Tetapi saya buat tidak tahu dengan hidayah itu. Saya selalu berfikir, jika saya lengahkan nikmat yang Tuhan beri itu, mungkin atas sebab itu juga Allah tak makbulkan doa kita.

"Sejak mendapat hidayah itu juga saya selalu berfikir tentang bapa. Selangkah saya keluar tidak memakai tudung, selangkah juga bapa saya akan ditarik ke neraka. Saya tidak mahu jadi penyebab bapa ke neraka.

"Alhamdulillah tunang, bapa keluarga semua gembira dengan perubahan saya ini walaupun pada awalnya mereka terkejut juga sebab ia secara tiba-tiba," ujarnya.

Eyra berharap peminat sentiasa mendoakan dan menyokongnya.

Dalam perkembangan sama, Eyra berkata, sebagai langkah awal perubahan itu, dia sudah pun memadam semua gambarnya tidak bertudung di Instagram.

Malah dia juga tidak bimbang dengan tanggapan artis wanita bertudung tiada tempat dalam industri kerana rezeki itu ditangan Allah.

"Pada saya rezeki daripada Allah itu tidak pernah salah alamat asalkan kita sentiasa berusaha dalam memajukan diri sendiri.

"Sebenarnya Allah sudah pun beri rezeki kepada saya dengan perubahan ini selain banyak pihak menghadiahkan tudung kepada saya dalam tempoh setahun ini," katanya.

Eyra Hazali, MeleTOP, Mr. Grey

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain