suria

“Kenapa di Makkah dan Madinah, boleh menjaga aurat sebaiknya?” - Mila Jirin

Mila memikirkan tentang istiqamah semenjak pulang menunaikan umrah.

PENYANYI dan usahawan Mila Jirin memberitahu dia banyak memikirkan tentang istiqamah semenjak pulang menunaikan umrah pada awal Februari lalu.

Mila, 31, berkata setiap hari dia mempersoalkan dirinya yang boleh menutup aurat dengan sempurna ketika di Makkah dan Madinah namun tidak mampu melakukan perkara yang sama selepas pulang ke Malaysia.

"Semenjak balik dari #umrah2019 dengan @bizmillahtravel banyak sangat yang saya fikirkan tentang 'ISTIQAMAH'... Hati seperti berbicara dengan diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata Mila Jirin tumpah kejutan hari jadinya sebuah majlis doa selamat


Mila berkongsi perkara itu menerusi laman sosialnya.

"Kenapa waktu di Makkah dan Madinah, boleh menjaga aurat sebaiknya... Kenapa balik Malaysia masih berseluar jean. Bertudung tetapi masih tak tutup aurat dengan sempurna?

"Persoalan ini hari-hari bermain di fikiran dan hati saya... Benar... Malunya pada Allah. Waktu mengerjakan umrah aurat ditutup sebaiknya," katanya.

Mila berkongsi perkara tersebut menerusi laman Instagram dan rata-rata pengikut mendoakan dia supaya terus istiqamah mengekalkan imej menutup aurat dengan sebaiknya.

Dia merujuk cara berpakaian yang betul menurut kehendak Islam iaitu seharusnya seseorang wanita Islam menutup aurat dengan memakai pakaian longgar.

Penyanyi yang popular dengan lagu Aku Lebih Tahu ini bersama suami dan anaknya menunaikan umrah pada penghujung Januari lalu.

Dalam pada itu, pemilik nama Norsyarmilla Jirin ini memberitahu dia menyedari betapa pentingnya untuk menutup aurat dengan sempurna ketika berada di sana namun mula lupa mengenai perkara itu.

Mila dan keluarganya baru pulang dari menunaikan umrah.

"Saya secara automatik tahu tentang penting tutup aurat. Tetapi bila pulang ke sini (tanah air), kembali seperti biasa dan mula lupa apa itu aurat.

"Allahuakbar! Bimbanglah kami agar istiqamah dan taat  kepada mu ya Allah... Sekadar pengkongsian dari hati seorang hamba Allah," ujarnya.

Juara program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu dan suaminya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha, 38, bernikah pada 11 November 2015.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Arif Zikri yang kini berusia dua tahun.

Mila telah mengambil keputusan untuk bertudung penuh pada hujung bulan Ramadan 2014 dan penghijrahan itu dilakukan sebelum dia mendirikan rumah tangga.

Mila Jirin

Artikel Lain