suria

Reen Rahim dedah watak Kak Su dalam ‘Pujaan Hati Kanda’ tak semudah difikirkan

Reen bersyukur apabila banyak pihak dan peminat mula menyedari bakat lakonannya menerusi drama Pujaan Hati Kanda.

WATAK Kak Su menerusi drama Pujaan Hati Kanda (PHK) lakonan Reen Rahim antara mendapat perhatian penonton yang kebanyakan memujinya.

Reen, 31, mengakui tidak mudah untuk membawa watak tersebut dan perlu banyak belajar sekiranya menerima tawaran yang sama.

"Watak itu nampak mudah tapi ia tak la semudah yang difikirkan. Secara jujurnya banyak lagi yang saya kena belajar sekiranya terima tawaran watak seperti itu.

"Untuk pengetahuan, saya akan cuba memahami sedalam-dalamnya setiap watak yang diberi dan sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik," kata Reen kepada mStar Online.

Menerusi drama tersebut, Reen menjadi kakak kepada pelakon utama iaitu Mira Filzah dan berjaya menambat hati penonton yang terhibur dengan karakter yang dibawanya.

Reen mahu belajar lebih lagi sekiranya mendapat tawaran watak yang sama.

Tambah pemilik nama Noreen Ashikin Abdul Rahim ini, dia suka dengan semua watak yang diberikan sepanjang bergelar anak seni kerana beranggapan ia adalah sebahagian daripada kehidupannya.

Reen turut meluahkan rasa syukur apabila banyak pihak dan peminat mula menyedari bakat lakonannya menerusi watak Kak Su.

"Alhamdulillah, sebenarnya semua watak yang saya bawa sepanjang bergelar anak seni, saya suka sebab itu adalah sebahagian kehidupan saya.

"Mana mungkin kita tak suka sebab itu sumber rezeki. Untuk watak Kak Su, alhamudlillah banyak pihak dan peminat mula nampak bakat saya," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon drama Geng Tadarus ini memberitahu dia mahu memberi tumpuan kepada karier seninya pada tahun ini.

Reen mahu fokus karier seni.

Reen juga mendedahkan dia kini sedang mengenali hati budi seseorang namun masih belum ada sebarang perancangan untuk berkahwin.

"Untuk 2019 ini sudah pasti saya mahu fokus lebih pada kerjaya, kerja dan kerja. Insya-Allah tahun ini lebih baik dengan respon yang positif menerusi drama PHK.

"Harap ia adalah permulaan baik untuk tahun ini. Tapi untuk perancangan kahwin pula belum ada lagi apa-apa.

"Buat masa kini, kami sedang mengenali hari budi masing-masing. Insya-Allah ada rezeki nanti sampailah kad kahwin," katanya.

Reen Rahim, Kak Su, Pujaan Hati Kanda

Artikel Lain