suria

"Kasih sayang peminat petanda Allah mahu saya lakukan yang lebih baik" - Maher Zain

Maher Zain percaya kejayaan yang kini datang daripada Allah. Foto: AFIQUE YUSOFF.

PENYANYI antarabangsa, Maher Zain dengan rendah hati mengakui kejayaan yang dikecapi selama ini datang daripada Allah dan hasil kerja keras orang sekelilingnya.

Maher, 38, berkata dia percaya sokongan dan kasih sayang yang diberikan peminat adalah petanda untuk beliau melakukan yang lebih baik selepas ini.

"Ada beberapa sebab saya mendapat kejayaan selama ini. Pertama, album pertama pada 2009 dikeluarkan tepat pada waktunya dan ia diterima peminat.

"Selain itu, sudah tentu pihak pengurusan yang bagus dan mempunyai visi serta kerja keras selama ini yang menjadi tunjang utama kejayaan saya.

"Saya juga percaya, kejayaan itu datang daripada Allah. Saya tak tahu sangat tapi apa yang boleh saya kata, saya sangat gembira dan hargai kasih sayang daripada peminat.

"Sayang yang mereka berikan itu adalah petanda Allah untuk saya lakukan yang lebih baik selepas ini," katanya kepada mStar Online.


Sidang media konsert jelajah Maher Zain di Malaysia turut dihadiri Syed Saddiq.

Maher ditemui ketika sidang media Maher Zain Malaysia Tour 2019 di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Rabu.

Acara tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Maher bakal mengadakan konsert jelajah di Malaysia bermula 9 hingga 17 Mac depan di empat lokasi berbeza.

Menurutnya, konsert tersebut merupakan permulaan untuk dia mengadakan lagi siri jelajah ke negeri-negeri lain.

"Sebenarnya kami ingin lakukan di banyak lokasi tapi Insya-Allah ini hanya permulaan sebab selepas ini kami akan terus adakan jelajah ke negeri lain pula.

Maher Zain.

"Insya-Allah saya janjikan konsert jelajah ini akan memberi kenangan indah kepada peminat," ujarnya.

Konsert jelajah akan bermula di Axiata Arena, Bukit Jalil (9 Mac) dan kemudian lokasi seterusnya di Pasir Gudang, Johor (15 Mac).

Manakala, pada 16 Mac depan konsert tersebut akan diadakan di Spice Pulau Pinang dan Universiti Malaysia Sabah (17 Mac).

Maher yang kali terakhir membuat persembahan di Malaysia pada tiga tahun lalu sempena kelahiran album, One, dijangka menyampaikan lebih 20 lagu sepanjang dua jam konsert berlangsung.

Maher Zain dikenali dengan lagu seperti Insha Allah, Thank You Allah, The Chosen One dan Palestine Will Be Free daripada album perdananya, terbitan 2009.

Maher Zain

Artikel Lain