suria

‘Polis Evo 2’ dihasilkan selepas dapat nasihat mufti

Zizan dan Shaheizy Sam teraju utama Polis Evo 2.

PRODUKSI filem aksi Polis Evo 2 yang mendapat pelbagai reaksi apabila didakwa memberi imej buruk terhadap agama Islam sudah mendapatkan nasihat agamawan.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 2, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

"Kami sudah bertemu dengan Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Perlis untuk dapatkan nasihat mereka mengenai isu ini.

"Kami juga menjemput mereka menonton sekali lagi selepas filem ini ditayangkan bagi mendapatkan nasihat jika ada yang terlepas pandang," ujarnya kepada mStar Online.


Lakonan Hasnul didakwa burukkan imej Islam.

Beliau ditemui pada majlis tayangan media filem Polis Evo 2, di sini, malam Rabu.

Dalam pada itu, Khairul berkata, filem tersebut sudah lulus dari Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan tiada sebarang sekatan dikenakan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Selain itu, penyalahgunaan media sosial yang menyebarkan persepsi buruk terhadap filem ini menerusi klip treler adalah tidak menggambarkan keseluruh filem berkenaan.

"Mereka harus menonton filem ini dahulu sebelum memberi pandangan kerana klip yang ditayangkan untuk treler itu tidak seperti yang difikirkan mereka.

"Segelintir pihak telah menyalahgunaakan media sosial dengan memberi persepsi buruk terhadap filem ini," ujarnya.

Tambah Khairul, Polis Evo 2 memberi mesej jelas bahawa Malaysia sendiri mempunyai pendirian tegas terhadap kegiatan ekstrimis seperti ini.

"Filem ini hanya rekaan semata-mata, kita mahu menunjukkan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan seperti ini.

"Dalam negara yang mejoriti Islam kita tidak mahu keharmonian digadai dengan seseorang yang menggunakan kesempatan dan agama untuk kepentingan sendiri," ujarnya.

Gandingan hebat Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Sebelum ini, filem terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. dan SCM Tbk itu menerima pelbagai reaksi termasuk beberapa parti politik sejak dimuat naik pada 30 Oktober lepas di Facebook dan YouTube.

Terdapat pihak yang berpendapat filem tersebut memberi gambaran buruk kepada imej Islam sebagai pengganas.

Ia berikutan watak ketua pengganas bernama Hafsyam lakonan Hasnul Rahmat yang menggunakan agama untuk melakukan jenayah.

Polis Evo 2 menampilkan Shaheizy Sam, Zizan Razak dan pelakon Indonesia Raline Shah sebagai teraju utama.

Manakala turut menampilkan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Raline Shah, Hairul Azreen, Soffi Jikan, dan Syafie Naswip.

Polis Evo 2

Artikel Lain