suria

“Hidup 100 tahun belum tentu dapat bayar, janji bayar sikit-sikit” - Penyebar Munafik 2

Syamsul Yusof bersama bapanya, Datuk Yusof Haslam bersama peguam mereka di Mahkamah Taiping, Perak baru-baru ini.

PETALING JAYA: Individu yang didapati bersalah menyebarkan secara haram filem Munafik 2 di laman sosial miliknya tampil menyatakan kekesalannya terhadap kesalahannya itu.

Muhammad Izwan Shah memberitahu keputusan mahkamah yang memerintahkan dia membayar ganti rugi sebanyak RM100,000 kepada Skop Productions membuatkannya tersentak kerana berasa mustahil dapat membayarnya walaupun dia hidup selama 100 tahun.

Pun begitu katanya, dia tetap bersyukur kerana tidak dikenakan hukuman penjara atas kesalahannya itu dan akan cuba sedaya upaya untuk melangsaikan ganti rugi itu.

"Saya tidak kisah saya tiada kereta, rumah sendiri, walaupun tiada jodoh sekalipun... Yang penting saya masih diberi peluang untuk menjaga ibu bapa saya biarpun sepanjang hayat saya bekerja keras semata-mata untuk membayar ganti rugi kepada pihak Skop Productions.

Luahan Muhammad Izwan di Facebook.

"Nilai RM100,000 itu teramat besar bagi orang biasa macam saya... Mustahil untuk saya mendapatkan jumlah tersebut walaupun saya dapat hidup 100 tahun sekalipun... Tapi saya berjanji saya akan bayar juga walaupun sikit-sikit kepada Skop Productions," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Hukuman dijatuhkan Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Taiping iaitu Asmadi Hussin terhadap Muhammad Izwan yang menggunakan nama ptofil Sasuke Kun.

ARTIKEL BERKAITAN: Sasuke Kun didenda RM100,000 sebar ‘Munafik 2’, Syamsul bagi amaran ramai lagi bakal kena

Menerusi status sama, Muhammad Izwan turut meminta maaf kepada pihak Skop Production termasuk kepada Datuk Yusof Haslam dan pengarah Munafik 2, Syamsul Yusof atas kekhilafannya itu.

Munafik 2, filem pecah panggung 2018.

Malah dia turut memohon maaf kepada pembantu peribadi Yusof dan adik perempuannya kerana telah mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Izwan memberitahu apa yang berlaku menjadi pengajaran kepadanya dan berharap masyarakat dapat mengambil iktibar daripada kejadian itu.

"Mana-mana individu di luar sana yang berhasrat atau sedang giat melakukan aktiviti berkongsi pautan mahupun perkara melanggar hak cipta tolonglah hentikan kerana negara kita ada undang-undang.

"Jangan anggap perkara ini mudah dan ringan kerana saya pun macam itu juga pada permulaannya tetapi tengoklah sekarang... Kesan dan implikasinya yang saya sedang hadapi," tulisnya lagi.

Munafik 2, Syamsul Yusof

Artikel Lain