Kurang senang Khadijah Ibrahim asyik sampaikan salam? Itu semua amanah! - Hiburan | mStar

Kurang senang Khadijah Ibrahim asyik sampaikan salam? Itu semua amanah!

Ibu Khaty sering menyampaikan salam yang dikirim peminat kepada pengacara dan bertanya mengenai pereka baju peserta. Foto ihsan Instagram @astrogempak

AMALAN juri tetap program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) iaitu Datuk Khadijah Ibrahim menyampaikan pesanan berupa salam daripada pihak-pihak tertentu  dalam program tersebut mengundang rasa kurang senang sesetengah penonton.

Mengulas mengenai tindakannya itu, Khadijah atau lebih mesra disapa Ibu Khaty, 58, memberitahu apa yang dilakukan adalah kerana amanah dan tidak menjadi satu kesalahan.

"Sampaikan salam itu amanah, saya pun tak ambil banyak masa. Lagipun nak cerita apa lagi masa awal konsert tu.

"Saya seronok berjumpa orang ramai di luar, contohnya baru-baru ini di hospital, ada seorang penonton GV dalam keadaan tak sihat mengirim salam kepada pengacara, Jihan Muse dan Nabil Ahmad. Saya rasa puas hati apabila dapat sampaikan salam mereka itu," katanya kepada mStar Online.

Penyanyi lagu Kupendam Sebuah Duka ini ditemui semasa sidang media Konsert 2 Dunia Lan Solo dan Fitri Haris yang diadakan di Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Juri tetap GV5, Khadijah Ibrahim dan Ramli MS.

Sementara itu, Khaty berkata pertanyaannya mengenai baju yang dipakai pengacara dan peserta program itu adalah bagi menghargai pereka fesyen.

Ujarnya, mereka telah berusaha keras dan bertungkus-lumus menyiapkan setiap rekaan supaya menjadikan si pemakai nampak indah di atas pentas.

"Siapa yang nak perkenalkan pereka fesyen berbakat kita, ramai penyanyi tapi ada ke yang sebut siapa pereka baju mereka?

"Saya bertanya sebagai tanda penghargaan kerana designer ini yang membuatkan kami semua nampak indah. Usaha mereka, kehulu-kehilir ikut artis dan buat baju yang bukan murah harganya.

40 tahun bergelar penyanyi, Khadijah menghargai usaha pereka fesyen.

"Saya berbangga dengan usaha mereka. Ada yang jumpa saya di belakang pentas berterima kasih kerana tanya artis itu siapa pereka baju dan mereka rasa sangat dihargai," katanya.

Dalam pada itu, Khaty mengakui turut menerima kritikan kononnya dia tidak memberikan penilaian sebenar kepada peserta dan hanya memberikan komen yang murni sahaja.

"Saya lebih selesa beri komen secara positif dan lebih beralas kerana tak mahu jatuhkan mereka atas pentas. Maruah masing-masing kena jaga.

"Bukan bermaksud nak jadi juri yang baik, tetapi bila kita fikirkan semula ini hanyalah sebuah program hiburan, jadi kenapa sampai nak rasa stress.

"Janganlah membandingkan saya dengan Datuk Ramli MS kerana kami masing-masing ada cara tersendiri dalam meluahkan pendapat dan komen," ujarnya.

Khadijah Ibrahim , Gegar Vaganza

Artikel Berkaitan