Lan Solo, Fitri Haris akan buktikan rock dan nasyid berkongsi pentas - Hiburan | mStar

Lan Solo, Fitri Haris akan buktikan rock dan nasyid berkongsi pentas

Dua genre muzik berbeza bakal berkongsi pentas sama dalam Konsert 2 Dunia. Foto: NORAFIFI EHSAN

PENYANYI Lan Solo berkata tidak mustahil lagu bergenre rock berkongsi pentas dengan lagu nasyid dalam sebuah konsert mega.

Bagi merealisasikan impian itu, Lan bersama penyanyi nasyid iaitu Fitri Haris bakal bergabung dalam satu persembahan istimewa untuk peminat di Utara tanah air.

"Kami dari genre muzik yang berlainan, Fitri lebih kearah lagu berbentuk kerohanian manakala saya lebih kepada rock.

"Oleh sebab itu, kami mahu bergabung dalam satu konsert dan ia merupakan langkah pertama kerana sebelum ini ada orang takut nak buat sebab rasa gabungan dua genre berbeza seakan tak kena.

"Akhirnya setelah melakukan perbincangan, kami sepakat untuk merealisasikan konsert ini dan buktikan kepada semua bahawa rock dan nasyid boleh berkongsi satu pentas," katanya kepada mStar Online.

Gabungan mantap dua suara dalam Konsert 2 Dunia yang bakal berlangsung di USM, Pulau Pinang pada 14 Disember ini.

Lan Solo dan Fitri Haris ditemui semasa sidang media Konsert 2 Dunia yang diadakan di Khadijah's Kitchen, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Dalam sidang media itu, Lan dan bekas anggota kumpulan UNIC itu memberitahu bakal mengadakan konsert istimewa di Dewan Tunku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 14 Disember ini.

Sementara itu, bekas vokalis kumpulan Kristal ini memberitahu dia tidak memerlukan masa yang lama untuk bersetuju dengan pelawaan Fitri itu.

Ujarnya, sebagai penyanyi, dia sentiasa mencari kelainan dan berharap mampu mengubah persepsi masyarakat mengenai gabungan dua genre berbeza.

Fitri (kiri) dan Lan (kanan) mahu cari keunikan dan kelainan dalam persembahan.

"Saya sangat berminat dan tertarik apabila Fitri mempelawa saya untuk berkongsi pentas yang sama.

"Memandangkan saya memang sukakan sesuatu yang unik, jadi tanpa perlu berfikir panjang saya bersetuju.

"Mungkin selepas ini kita boleh ubah persepsi orang bahawa muzik rock dan nasyid juga boleh bergabung dalam sesebuah konsert," katanya yang menjangkakan 1500 orang penonton bakal menyaksikan persembahan istimewa tersebut.

Bercakap mengenai Konsert 2 Dunia, mereka memberitahu hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada badan kebajikan terpilih antaranya Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM).

Tiket-tiket sudah mula dijual pada harga RM20, RM30, RM50, RM100 dan RM150 serta boleh didapati dengan menghubungi nombor 018-9553228.

Lan Solo , Fitri Haris

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel