suria

Big Stage: Faizal Tahir mengaku tersalah guna imuniti, Sissy Imann harap diselamatkan

Sissy Imann menjadi peserta ketiga tersingkir daripada program Big Stage pada malam Ahad. Foto Instagram @aqoimran

SHAH ALAM: Juri tetap program Big Stage yang juga penyanyi Faizal Tahir mengakui melakukan kesilapan apabila tidak menggunakan kuasa imuniti bagi menyelamatkan Sissy Imann daripada tersingkir pada pertandingan minggu keempat itu.

Faizal berkata, dia sebenarnya keliru dengan dengan konsep imuniti itu sehingga tersalah membuat pilihan dan mengambil tanggungjawab atas penyingkiran Sissy.

"Saya fikir jika saya selamatkan salah seorang daripada mereka maknanya tidak akan ada penyingkiran tetapi percaturan itu salah.

"Memang saya berasa ralat tidak selamatkan Sissy... Saya harus dipersalahkan dan mengambil tanggungjawab atas penyingkirannya," katanya.

Pada program yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, Faizal menggunakan imuniti tersebut bagi menyelamatkan Arif Bahran yang menyanyikan lagu Deen Assalam.

Faizal mengakui ralat dengan keputusan yang dibuat.

Selain Arif dan Sissy, Tajul turut berada di kedudukan tiga peserta mendapat markah terendah daripada juri profesional.

Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza turut bertindak sebagai juri tetap manakala Mas Idayu sebagai juri jemputan.

Dalam pada itu, Faizal berkata, kesemua lapan peserta yang bertanding pada malam itu sebenarnya layak mara ke minggu seterusnya atas peningkatan positif dalam persembahan mereka berbanding sebelum ini.

Bagaimanapun kata Faizal, jika berdasarkan persembahan minggu keempat, Sissy menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan.

Sementara itu, Sissy ketika ditemui tanpa berselindung memberitahu berharap agar namanya disebut untuk diselamatkan namun menganggap perjuangannya dalam Big Stage hanya sampai setakat ini.

Kata Sissy, walaupun berasa sedih namun menganggap apa dilakukan juri itu adalah adil dan ia percaturan yang harus diterimanya.

"Saya ralat bukan apa tapi sudah masuk minggu keempat jadi saya sudah buat banyak persediaan untuk minggu seterusnya.

"Inilah adat bertanding... sedih tetapi saya terima dengan hati terbuka dan ini bukan pengakhiran daripada saya," jelasnya.

Sissy menganggap penyingkirannya sebagai adat pertandingan.

Mengulas mengenai komen Mas Idayu yang ingin melihat dia menyampaikan lagu Sengol Sengolan Cubit Cubitan dengan gayanya tersendiri, Sissy berkata, dia memilih untuk mengekalkan genre asal itu kerana menghormati muzik dangdut dan tema diberikan iaitu Cover Tapi Bukan Aku.

Malah kata Sissy, dia ada terfikir untuk membawa versinya sendiri namun atas nasihat produksi dan mengambil kira komen netizen berhubung persembahannya yang lalu dia memilih untuk mengekalkan versi asal.

"Seperti sebelum ini ketika saya menyanyikan lagu dari Misha Omar, saya ubah mengikut citarasa saya tetapi netizen mengkritik tindakan saya itu.

"Jadi minggu ini, saya ambil nasihat diberikan dan paling utama saya ingin hormat genre dangdut itu dan tema diberikan minggu ini," ujarnya.

Tujuh peserta lain yang mara ke minggu seterusnya adalah Arif Bahran, Tajul, Wani Kayrie, Afieq Syazwan, Shafiq Farhain, Baby Shima dan Sarah Suhairi.

Sissy Imann, Faizal Tahir, Big Stage

Artikel Lain