Aishah belum terima hadiah tanah lot & barang kemas tiada nilai, ini jawapan Astro - Hiburan | mStar

Aishah belum terima hadiah tanah lot & barang kemas tiada nilai, ini jawapan Astro

PETALING JAYA: Pendedahan penyanyi Aishah berhubung masih belum mendapat hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) mendapat perhatian pihak Astro.

Jurucakap Astro berkata, pihak penaja Bina Megah Empire ada meminta sedikit masa untuk menyelesaikan isu tersebut selain mungkin wujud salah faham di antara pihak tersebut dan pemenang.

"Kami difahamkan pihak penaja (Bina Megah Empire) telah meminta sedikit masa untuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit berhubung hadiah penajaan yang berupa tanah lot banglo.

ARTIKEL BERKAITAN: Aishah persoal hadiah GV4... Mana tanah lot? Hadiah Datuk Vida pun tak bernilai!

“Besar kemungkinan terdapat sedikit salah faham di antara pihak penaja dan pemenang dari segi tempoh masa untuk melunaskan bahagian mereka dalam perjanjian penajaan tersebut," katanya kepada mStar Online.

Pada Sabtu, Aishah, 53, mendedahkan masih belum menerima hadiah tersebut selain mendakwa barangan kemas tajaan usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 adalah palsu.

Bagaimanapun hadiah lain seperti wang tunai berjumlah RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur dan baucer beli-belah sudah diterimanya.

Sementara itu, mengulas mengenai hadiah barangan kemas itu, Astro bagaimanapun meminta perkara itu diajukan sendiri kepada pihak penaja.

"Adalah lebih baik jika soalan itu ditujukan kepada pihak penaja dan kami enggan mengulas lanjut," katanya lagi.

Aishah , Gegar Vaganza , Astro

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain