suria

“Hancur sudah harapan…” - Aliff Syukri reda Ferrari terbakar

Aliff Syukri reda dengan kejadian kereta mewah jenis Ferrari miliknya terbakar pada Khamis lalu.

PETALING JAYA: Usahawan kosmetik terkenal Datuk Seri Aliff Syukri memberitahu reda dan pasrah dengan kejadian kereta mewah jenis Ferrari miliknya yang hangus dijilat api pada petang Khamis lalu.

Enggan membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu, Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 30, memberitahu dia menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan berhubung punca sebenar kenderaan itu terbakar.

"Hancur sudah harapan... Tak sampai 10 minit dah tinggal abu.

"Biarlah polis buat siasatan, aku reda dan pasrah. Kuatkan semangat saya ya sahabat Instagram dan Facebook," tulisnya di Instagram.

Kereta Ferrari model 458 Italia itu dianggarkan berharga RM1.8 juta.

Perkongsian Aliff di Instagram berhubung Ferrari miliknya yang terbakar pada Khamis lalu.

Kejadian berlaku di Kilometer 39.5 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah dari USJ ke Plaza Tol Sunway di sini.

Pihak polis dalam satu kenyataan memberitahu ketika kejadian kenderaan mewah itu dipandu seorang lelaki warga Australia yang menyedari kebakaran bermula di bahagian ekzos sebelum memberhentikan kereta itu di lorong kecemasan.

Ferrari itu musnah akibat kebakaran itu dan api berjaya dipadamkan oleh pasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

Terdahulu, Aliff pada Jumaat memuat naik video memperlihatkan dia sedang menangis apabila melihat keadaan keretanya yang sedang dijilat api.

Melalui ruang komen pula, pelakon filem Badang itu turut mengakui kenderaan mewah itu adalah miliknya.

"Aku insan yang lemah.. kuatkanlah semangatku ya Allah. Apa patut saya buat, kereta kesayanganku aku beli RM1.8 juta," katanya.

Aliff Syukri Kamarzaman, Ferrari

Artikel Lain