suria

Lebih setahun Adam Shahz jadi pemandu Grab... Apa nak malu?

Adam Shahz memberitahu dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa malu bergelar pemandu Grab walaupun dia seorang pelakon.

PELAKON Adam Shahz memberitahu dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa malu apabila mengambil keputusan bergelar pemandu Grab sejak setahun lalu.

Adam berkata, apa yang dilakukan adalah kerana mencari rezeki halal selain mengisi masa lapang sekiranya tidak mempunyai sebarang komitmen lakonan.

"Sudah setahun lebih saya menjadi pemandu Grab dan Alhamdulillah saya semakin selesa dengan kerja yang saya lakukan.

"Selain ia menambah pendapatan, sekurang-kurangnya saya tidak membuang masa tanpa berbuat apa-apa kalau tiada tawaran berlakon," katanya.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman memandu Grab, Adam berkata, seperti mana pemandu lain dia juga tidak terkecuali merasai pelbagai pengalaman termasuk digoda selain ditipu.

Bagaimanapun kata Adam, dia bersyukur setakat ini dia tidak pernah mengalami kejadian mengancam nyawa selain sentiasa berhati-hati terhadap situasi mendatang bahaya kepadanya.

Adam Shahz masih berlakon.

"Digoda itu mungkin biasa tetapi biasanya saya tidak layan... Ditipu pelanggan pun ada juga.

"Alhamdulillah setakat ini tiada kejadian membimbangkan berlaku. Kalau terpaksa saya akan batalkan pesanan pelanggan jika ada sesuatu yang saya rasa tak kena atau ada mereka menggunakan akaun palsu," jelasnya.

Sementara itu, Adam berkata, kerjaya baharunya itu bukan penanda dia akan meninggalkan bidang lakonan kerana ia sekadar pekerjaan sampingan.

Kata Adam, masih banyak perkara yang ingin dicapai sebagai pelakon dan dia memilih bekerja sebagai pemandu Grab kerana tidak terikat dengan sebarang komitmen.

"Saya sayangkan industri dan masih mahu berlakon... Tidak terdetik dihati saya nak meninggalkan industri kerana masih banyak perkara belum saya capai.

"Pernah ada pelanggan saya tawarkan saya kerja apabila tahu saya pernah bekerja sebagai jututera tetapi saya tolak.

"Saya sedar kalau saya ada kerja tetap, memang tidak akan ada masa untuk berlakon selepas ini," katanya.

Adam Shahz

Artikel Lain