suria

Janna Nick takut nak bersuara

Janna Nick mengakui pernah berasa takut untuk membicarakan mengenai isu dan kontroversi dunia hiburan menerusi program kendaliannya, Melodi.

PELAKON dan pengacara Janna Nick mengakui pernah takut untuk bersuara berhubung isu kontroversi melibatkan rakan selebriti menerusi program kendaliannya, Melodi.

Janna atau Nurul Jannah Muner, 22, berkata, perasaan itu timbul kerana dia bimbang sekiranya ada di antara mereka terasa hati dengannya memandangkan dia juga dalam lapangan sama.

"Jujur saya katakan beberapa bulan awal kemunculan saya sebagai hos Melodi saya masih teragak-agak dan takut hendak bersuara terutamanya melibatkan isu atau kontroversi dunia hiburan.

"Ia sedikit sebanyak mempengaruhi cara saya mengendalikan program itu kerana bimbang kalau ada dalam kalangan artis terasa atau marah dengan saya.

"Tetapi Alhamdulillah selepas enam bulan saya mula faham konsep program itu dan memperbaiki pengacaraan saya bersesuaian dengan apa topik atau berita yang dipaparkan," katanya.

Janna Nick semakin selesa bergelar pengacara. 

Janna mengendalikan program itu bersama Ajak Shiro menggantikan pengacara terdahulu Awal Ashaari dan AG.

Dalam pada itu, Janna berkata, sejak bergelar pengacara juga dia lebih peka terhadap industri hiburan dengan memperbanyakkan membaca berita berkaitan hiburan dan selebriti.

Kata Janna setiap hari dia akan membuka portal dan blog hiburan selain membaca akhbar bagi mengetahui perkembangan semasa dunia hiburan.

"Terima kasih kepada rakan wartawan kerana setiap hari menyediakan pelbagai berita tentang dunia hiburan yang boleh saya gunakan sebagai info ketika mengacara.

"Memang jadi rutin harian saya sekarang buka portal, blog dan baca surat khabar untuk mengetahui perkembangan semasa terutamanya tentang dunia hiburan," jelasnya.

Janna Nick, Melodi