suria

Projector Band bakal adakan konsert sulung Julai depan

Projector Band

PETALING JAYA: Setelah hampir tiga tahun mencipta nama, Projector Band bakal mengadakan konsert sulung mereka pada 28 Julai depan.

Menerusi konsert itu, mereka akan mempersembahkan single terbaharu yang berjudul Setia Menantimu.

Dianjurkan oleh JW Live Production Sdn Bhd, konsert itu akan diadakan di Quill Convention Centre, Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Projector Band yang ditubuhkan pada 25 Disember 2013 dibarisi Iskandar selaku vokalis, Razif (gitar utama) Isnaidi (gitar kedua), Ahmad Khusairi (gitar bass) dan Syafiq (pemain dram).

Sebelum ini, single Sudah Ku Tahu membantu mereka mencipta nama dalam industri muzik dan membolehkan mereka menjejakkan kaki ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31), pada 2016.

Lebih membanggakan, mereka berjaya memenangi tempat ketiga pada malam penuh berprestij itu.

Mereka juga pernah tercalon dalam Anugerah Industri Muzik 2016 (AIM22), Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2017 (ABPBH 3.0) dan Anugerah Meletop ERA 2017 (AME).

Selain Sudah Ku Tahu, Projector Band terus memperkukuhkan kedudukan di dalam industri dengan empat lagi single yang bertajuk Pasti Ada Kamu, Aisyah, Meskipun Kau Tahu dan Percaya Hati.

Tiket konsert berkenaan akan mula dijual bermula pukul 4 petang, Sabtu ini di Ticketing Hub, Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Mereka juga akan berada di sana untuk sesi persembahan dan ramah mesra bersama peminat.

Selain pembelian di Quill City Mall, orang ramai boleh mendapatkan tiket berharga RM50 dan RM100 (VIP) menerusi laman web www.ticketcharge.com.my.

Malah, pembeli tiket terawal turut berpeluang menerima album kumpulan itu secara percuma.

Projector Band

Artikel Lain