suria

Kaburkan dada foto seksi... Ini jawapan Fara Hezel!

Fara minta maaf cetuskan kontroversi dan akan lebih berhati-hati memuat naik sesuatu di laman sosial selepas ini. Foto: FARA HEZEL.

GARA-gara memuat naik foto mengaburkan bahagian dada, penyanyi Fara Hezel dikecam netizen yang mempertikaikan tindakan itu dan memintanya untuk bertudung.

Fara atau nama sebenarnya Nurfaraazira Yusri, 22, berkata dia tiada niat untuk berbuat demikian dan tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai permintaan netizen.

Penyanyi lagu Setiaku Pasti ini juga memberitahu dia memuat naik foto tersebut bagi mempromosikan solekan sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Fara Hezel mengaku Erry Putra kekasihnya

"Saya bukanlah sengaja nak memuat naik foto seperti itu. Niat saya hanya untuk mempromosikan solekan sahaja.

"Bahagian itu saya tutup sebab tak nampak terlalu seksi. Tapi tak sangka pula boleh cetus kontroversi dan kecaman netizen. 

"Soal nak pakai tudung itu, saya tak nak komen sangat takut jadi salah faham tapi Insya-Allah satu hari nanti," kata Fara kepada mStar Online.


Foto yang dimuat naik Fara mendapat kecaman netizen.

Bagaimanapun, kakak kepada penyanyi Aiman Tino ini telah memadam foto tersebut beberapa jam selepas memuat naik di laman Instagram.

Tambah Fara, dia minta maaf kerana memuat naik foto tersebut di bulan Ramadan dan selepas ini akan lebih berhati-hati dalam memuat naik sesuatu.

"Saya faham, foto itu tidak sesuai dimuat naik pada bulan Ramadan. Saya minta maaf dan akui kesilapan.

"Saya juga manusia biasa yang tidak sempurna. Kesalahan itu memang bukan disengajakan dan saya pun sudah memadamnya.

"Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan fikir dahulu sebelum memuat naik sesuatu di laman sosial," ujarnya.

Hubungan Fara dan Erry tidak lebih daripada seorang kawan.

Dalam pada itu, Fara memberitahu hubungannya dengan penyanyi Erry Putra kini hanya sekadar kawan sahaja.

Mereka mengambil keputusan untuk berkawan terlebih dahulu sebelum memikirkan soal cinta.

"Saya dah Erry sekarang ini hanya berkawan sahaja. Kami mahu memberi tumpuan kepada karier terlebih dahulu.

"Sebab itu, kami buat keputusan untuk jadi kawan dan soal cinta itu ketepikan dahulu," katanya.

Sebelum ini menerusi laporan mStar Online pada 6 April lalu, penyanyi lagu Ku Pasrah ini mengakui sedang bercinta dengan Erry.

Fara Hezel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain