suria

Pekerja pecah amanah, Datuk Rafiena rugi ratusan ribu

Datuk Rafiena mengalami kerugian ratusan ribu ringgit kerana perbuatan pecah amanah pekerja syarikatnya.

KUALA LUMPUR: Penerbit drama dan filem, Datuk Rafiena Ezanee Ramli mendedahkan beliau terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit selepas salah seorang pekerjanya melakukan pecah amanah.

Rafiena, 35, berkata, selain penyelewangan berbentuk wang tunai, individu tersebut turut melarikan lima set peralatan teknikal termasuk kamera yang digunakan untuk penggambaran projek syarikat produksinya, Darkwafe Pictures Sdn Bhd selain untuk tujuan sewaan kepada pihak ketiga.

"Individu yang melakukan pecah amanah itu adalah pekerja syarikat saya sendiri dan ekoran perbuatannya saya mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

"Paling saya kesal, individu terbabit antara orang yang saya percaya dan telah bekerja di syarikat saya selama enam tahun dan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pekerja bebas selama 10 tahun dengan saya.

"Memang langsung saya tidak sangka dia sanggup berbuat begitu terhadap saya dan ia telah menyebabkan beberapa urusan di syarikat mengalami masalah," katanya.

Barisan pelakon drama bersiri Air Mata Syurga.

Rafiena ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Air Mata Syurga lakonan Tasha Shila, Afiq Muiz, Haliza Misbun dan Elly Suriati yang diadakan pada Sabtu.

Drama arahan Raja Ahmad Alauddin itu akan bersiaran bermula 7 Mei ini setiap hari Isnin dan Selasa, 9 malam menerusi saluran HyppSensasi (116), Unifi TV.

Dalam pada itu, Rafiena memberitahu dia mula menghidu perbuatan individu tersebut kira-kira dua bulan lalu ketika syarikatnya sedang sibuk menyiapkan drama bersiri KL Meroyan dan Air Mata Syurga.

Kata Rafiena, semua teka-teki mengenai perkara itu mula jelas selepas dia meminta ibunya yang kebetulan sedang mengerjakan ibadah Umrah berdoa agar diberi petunjuk.

Haliza Misbun.

"Sebelum ini saya ada rasa tak sedap hati... tetapi saya tidak begitu pasti apakah yang sedang berlaku dalam syarikat saya.

"Alhamdulillah Allah itu maha kaya dan memakbulkan doa ibu saya di Makkah dan memberi petunjuk sehingga semuanya jelas selain mendapat satu persatu bukti perbuatan individu tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Rafiena berkata, dia sudah pun membuat laporan polis berhubung insiden itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.

Malah katanya, dia juga tidak teragak-agak untuk memfailkan saman sivil terhadap individu tersebut kerana telah menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian selain imej baik yang sudah tercalar.

"Saya hendak ulas panjang mengenai perkara ini pun ia sudah jadi kes polis dan saya biarkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut," ujarnya.

Datuk Rafiena, Air Mata Syurga

Artikel Lain