suria

20,000 Banjiri Tayangan Perdana Filem 'Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan'

Datuk Lee Chong Wei turut membuat kemunculan pada acara permaidani merah bersama isteri, Datin Wong Mew Choo dan dua anak lelaki mereka, Kingston dan Terrance.

KUALA LUMPUR: Seramai 20,000 penonton membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil di sini bagi menyaksikan tayangan perdana filem biopik Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan yang diadakan pada malam Jumaat.

Filem yang ditayangkan menerusi skrin berukuran 40m x 17m itu turut mencipta sejarah apabila ia turut dicatatkan dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records.

Sebelum acara berlangsung, jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei turut membuat kemunculan pada acara permaidani merah bersama isteri, Datin Wong Mew Choo dan dua anak lelaki mereka, Kingston dan Terrance.

Chong Wei yang sedang dalam persiapan perlawanan All England minggu hadapan dilihat teruja dengan kemeriahan majlis tersebut.

20,000 penonton yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan filem Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan.

"Saya berasa cukup berbangga untuk berada di sini pada malam ini bersama 20,000 penonton dan ia cukup istimewa walaupun saya bermain dihadapan orang ramai dalam pelbagai acara sebelum ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan saya sendiri tidak sangka penghasilan filem ini akhirnya tercapai," katanya.

Mengulas lanjut mengenai filem mengenai kisah hidupnya itu, Chong Wei berkata, pengarahnya Teng Bee menyatakan hasrat untuk menghasilkan filem itu ketika dia menyertai Sukan Olimpik London pada 2012 namun idea itu hanya dapat direalisasikan pada 2016.

"Saya berasa seperti mimpi kerana tidak menyangka kisah mengenai diri saya akan dijadikan sebuah filem," katanya lagi.

Barisan pelakon yang menjayakan filem Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut hadir ke tayangan perdana tersebut dan turut disertai oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria selain Datuk Misbun Sidek, Datuk Seri Jalani Sidek dan Rahman Sidek.

Khairy turut menyifatkan Chong Wei sebagai hero sebenar negara dan kisahnya akan berterusan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.

Manakala Misbun pula memberitahu filem tersebut akan memberi inspirasi kepada ramai masyarakat Malaysia dalam pelbagai bidang," katanya yang banyak memainkan peranan dalam kejayaan Chong Wei dalam sukan badminton.

Filem Lee Chong Wei: Menjulang Kejuaraan bakal menemui penonton di pawagam di seluruh negara bermula Khamis depan.

Artikel Lain