"Kalaulah Ada Hukuman Sebat, Mesti Mereka Tak Berani" - Amy Search - Hiburan | mStar

"Kalaulah Ada Hukuman Sebat, Mesti Mereka Tak Berani" - Amy Search

Amy kecewa album terbaharunya turut dicetak rompak oleh individu tidak bertanggunjawab. Foto Instagram @aku.amysearch

PENYANYI Amy Search kesal apabila album terbaharu kumpulan Search berjudul Search Katharsis dicetak rompak dan dijual secara terbuka di sebuah pusat membeli belah.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Amy berkata, setelah 37 tahun berada dalam industri seni, isu penjualan cetak rompak masih berleluasa seakan tiada penghujungnya.

"Perompok ini mereka rompak hasil seni semua bangsa, asalkan laris, hari ini aku dah 37 tahun dalam industri tapi mereka masih tak pernah berhenti merompak walaupun keadaan sekarang amat berbeza dari dulu.

Amy Search

"Penjualan fizikal sangat terhad dan yang membeli ada lah peminat fanatik jadikan sebagai koleksi. Selagi ada pembeli selagi tu mereka jual walaupun salah di sisi undang-undang. Lebih teruk lagi dijual secara terang-terangan tanpa rasa hormat.

"Kalaulah hukuman jika didapati menjual hasil seni negara secara haram ialah sebat tanpa bicara dari dulu tentu tak berani mereka jual. Kasihan hasil seni anak bangsa dirompak sejak zaman P.Ramlee lagi," luahnya di laman tersebut pada Jumaat.

Sementara itu, pemilik nama Suhaimi Abdul Rahman ini tidak menolak isu ini akan berterusan dan tiada kesudahan gara-gara sikap individu tidak bertanggungjawab yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Perkongsian Amy di laman Instagram.

"Realitinya sampai aku dah mati, hasil seni aku tetap dirompak macam arwah P.Ramlee. Ini di negara kita, macam mana pula negara lain seperti Indonesia, waktu itu album Fenomena terjual melebihi satu juta unit dan berapa pula cetak rompak terjual di sana dengan tiga lagu hits Isabella, Fantasia Bulan Madu (cinta Kita) dan Nafas Cinta?

"Ini lah perjalanan anak seni yang sentiasa dirompak daripada album pertama kita dah buat kempen fasal cetak rompak. Orang cakap kalau kita tak boleh lawan cetak rompak kita kena join mereka, takkan kita nak jadi perompak yang merompak hasil seni anak bangsa sendiri.

"Kita bertungkus lumus bikin album 'Search Katharsis' sampai 700 jam tapi mereka dengan senang hati rompak hasil kerja seni kita dan jual tanpa segan silu. Yang menjual berdosa dan yang membeli pun berdosa sebab yang membeli tau itu barang curi. Aku harap korang tak sokong cetak rompak," katanya.

Katharsis merupakan album ke-12 kumpulan Search dan telah dilancarkan pada November tahun lalu.

Rata-rata pengikutnya di laman tersebut bersetuju dengan pandangan Amy dan berasakan pihak berwajib perlu mengambil tindakan bagi menangani isu ini.

Malah, ada juga peminat yang memanjangkan tulisan Amy ini kepada pengendali laman Instagram milik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Amy Search

Lebih Artikel

Zainuddin Maidin meninggal dunia

Enam lagi ahli Parlimen Umno keluar parti