suria

Ruhainies Selesa Bekawan Dengan Lelaki Budiman

Sikap manja Ruhainies disalah erti.

PETALING JAYA: Pelakon Ruhainies menjelaskan dirinya masih berstatus solo dan tidak menjalin hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

Ruhainies berharap pengakuan itu sekali gus dapat menjernihkan pandangan serong segelintir pihak kononnya dia kerap bertukar teman lelaki termasuklah gosip hubungan dengan pelakon Azrel Ismail.

"Saya tidak ada teman lelaki dan tidak bercinta dengan sesiapa sekarang. Ketika ini, saya lebih selesa sekadar berkawan dengan lelaki-lelaki yang budiman termasuklah Azrel (Ismail).

"Kami hanya berkawan macam orang lain dan tak dinafikan kami selalu berhubung tapi tak lebih daripada itu. Tak ada perasaan cinta antara kami," katanya kepada mStar Online.

Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 26, dikecam tahun lalu dengan tuduhan kononnya nakal dan sering bertukar teman lelaki kerana salah faham pihak tertentu dengan personalitinya yang manja, lemah-lembut dan penyayang.

Berikutan itu, ujar Ruhainies dia lebih selesa untuk membataskan pergaulan dengan lelaki yang memahami sikapnya bagi mengelakkan salah faham berlanjutan.

mStar Default Image

"Saya tak nafikan disebabkan sikap peramah dan manja ini ada kawan lelaki yang salah faham. Ada orang luar yang kurang mengenali saya berfikir bukan-bukan dan bersangka buruk terhadap saya.

"Padahal sikap saya memang begini sama ada dengan keluarga atau pada orang luar pun. Sekarang apabila ada lelaki yang baru hendak berkawan sudah beri reaksi jatuh cinta saya cepat-cepat hentikan kerana tak mahu orang salah faham lebih jauh dengan personaliti saya," katanya.

Sambung Ruhainies, berbeza dengan sikap budiman dan keikhlasan yang dimiliki Azrel, keperibadian aktor itu membuatkan mereka serasi berkawan baik.

"Saya berani puji sebab dia memang lelaki yang baik, budiman dan menghormati saya. Dia kenal sikap saya dan tidak pernah melangkaui batas.

"Kalau betul dia merancang untuk berkahwin pada tahun ini, saya doakan dia mendapat pasangan sebaik dirinya sebab dia kawan yang bagus," katanya.

Dalam bidang lakonan pula, Ruhainies melihat kerjaya seninya menunjukkan perkembangan yang lebih baik sekarang.

"Pada Disember tahun lepas saya diberi kepercayaan untuk membintangi filem pertama berjudul Musyrik yang merupakan filem seram arahan Arjin Uppal.

"Sekarang saya sedang sibuk dengan pembikinan drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu untuk siaran Astro. Saya harap ini akan jadi pembuka jalan untuk berlakon drama-drama di stesen itu pula," katanya.


Ruhainies

Artikel Lain