suria

Yusuf Iskandar Tidak Dibenarkan Bekerja

Hanis dan Hairul bersetuju untuk menolak sebarang tawaran berlakon untuk Yusuf buat masa ini. Foto: ZAMIR MAHADI.

PASANGAN selebriti Hairul Azreen dan Hanis Zalikha tidak membenarkan anak sulungnya, Yusuf Iskandar 'bekerja' dalam usianya kini mencecah 19 bulan.

Hanis atau nama sebenarnya Hanis Zalikha Zainal Rashid, 28, berkata mereka pernah menerima tawaran lakonan untuk Yusuf namun ia terpaksa ditolak buat masa ini.

Menurutnya lagi, mereka tidak mahu melihat Yusuf kepenatan dan terpaksa mengikut jadual penggambaran yang sudah ditetapkan serta mengingati skrip yang diberikan.

"Sejak awal lagi, Hairul tidak pernah mengizinkan anaknya bekerja. Walaupun ada beberapa tawaran yang datang namun kami tolak dengan baik.

Yusuf mempunyai pengikut yang ramai di laman Instagram. Foto Instagram: @theyusufiskandar.

"Ketika ini kami lebih selesa berkongsi perihalnya menerusi Instagram sahaja. Keputusan ini dibuat kerana kami tidak mahu melihat Yusuf penat.

"Jika berlakon, pastinya dia perlu mengikut jadual yang ditetapkan serta skrip yang diberikan. Jadi biarlah ia tidak menyusahkan orang lain serta kami semua," kata Hanis kepada mStar Online.

Anak pasangan itu sudah meraih populariti sejak awal kelahirannya dan mempunyai pengikut akaun Instagram yang kini berjumlah 2.1 juta.

Dalam pada itu, Yusuf bakal muncul dalam program My Little Heroes yang memaparkan aktiviti harian bersama kucing perliharaan, Bujibu Chempel.

Penonton bakal melihat kemesraan Yusuf dan kucingnya, Bujibu menerusi program realiti terbaru mereka. 

Kata Hanis, dia dan suaminya menjelaskan kepada pihak produksi agar proses rakaman tidak mengganggu rutin harian dan keselesaan Yusuf serta tidak membebankan anak kesayangan mereka.

"Kami bersetuju untuk melakukan program tersebut kerana sepanjang penggambaran Yusuf tidak perlu berlakon atau bekerja.

"Dia hanya menjalani kehidupan seharian seperti biasa tanpa membebankan emosinya dan rakaman akan dilakukan mengikuti waktu yang bersesuai seperti yang dipersetujui dengan pihak produksi," ujarnya.

Rancangan My Little Heroes akan mula bersiaran pada 31 Januari setiap Rabu pukul 10 malam di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD 123.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain