suria

16 Peserta Berentap Dalam Bintang RTM 2018

Inilah 16 peserta Bintang RTM 2018. FOTO: Intan Syuhada.

KUALA LUMPUR: Seramai 16 peserta bakal berentan untuk merebut gelaran juara dalam pertandingan Bintang RTM 2018 yang akan disiarkan pada Sabtu ini.

Peserta berkenaan terdiri daripada 10 wanita dan enam lelaki iaitu Sharifah Zafieka Syed Zakaria, 17, Siti Nur Nadia Mohd Rozi, 23, Yuveena Gunainthran, 18, dan Sharifah Rusilmu Imani Syed Hussain ,17.

Peserta lain ialah, Nur Jannah Abu Hanipah, 19, Nur Alfatwa Marcus Mohamad Nordin, 20, Ferona Paimin, 21, Heidi Vanessa Moruning, 23, Yasmin Nadira Aqila Zainudin, 23 dan Siti Nur Atiqah Afendi, 18.

Enam peserta lelaki pula ialah Muhammad Hafiz Zainal, 25, Fadhli Hariz Fayahet, 24, Muhammad Yasser Sharifudin, 21, Herman A Hamid, 20, Muhammad Qaidzul Zainal Abidin, 19, dan Mohd Firdaus Materang, 25.

Siapakah yang akan menyerlah dalam Bintang RTM 2018? Saksikannya pada Sabtu ini di TV2. FOTO: Intan Syuhada

Pengarah Program TV RTM, Norliza Mohd Ali berkata, kesemua peserta dipilih menerusi uji bakat yang diadakan di enam zon di seluruh negara bermula 1 hingga 25 Disember tahun lalu.

"Seramai lima ribu peserta menghadiri uji bakat yang kita adakan. Kemudian mereka ditapis sehingga 30 orang dan akhirnya hanya 16 yang layak untuk menyertai konsert mingguan.

"Ia pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk memilih 16 peserta terbaik. Namun, saya yakin mereka boleh menjadi sehebat penyanyi-penyanyi lain yang pernah menjadi peserta Bintang RTM suatu ketika dahulu," katanya kepada mStar Online.

Sidang media acara itu diadakan di VE Hotel, di sini pada Khamis.

Inilah barisan juri dan hos yang akan terlibat dalam Bintang RTM 2018. Dari kiri; Misha Omar, Atilia, Adibah Noor, Syafinaz, Awie, Alam Wakaka dan Aqasha.

Selain peserta berkenaan pihak produksi Bintang RTM 2018 turut memperkenalkan barisan tenaga pengajar yang terdiri daripada Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie (guru persembahan), Syafinaz Selamat (guru vokal), Alam Wakaka (guru tari) dan Atilia Haron (guru kecergasan).

Program itu akan dikendalikan oleh Aqasha dan Misha Omar selaku pengacara dan Adibah Nor serta AG Coco bertindak sebagai juri tetap.

Bintang RTM 2018 masih mengekalkan format penjurian 100 peratus oleh juri profesional dan akan disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada setiap Sabtu, pukul 8.30 hingga 10.30 malam.

Ia juga boleh diikuti secara dalam talian menerusi RTM mobile dan laman facebook Hiburan TV RTM.

Bintang RTM

Artikel Sebelum

Hisyam Hamid Tak Kejar Datuk

Artikel Berikut

Artikel Lain