suria

Fad (Bocey) Teruja Beli Barangan Anak Perempuan

Fad Bocey mengakui teruja dengan kehadiran anak perempuannya yang diberi nama Nur Aminah Mishall.

PELAWAK Fad Bocey mendedahkan dia lebih teruja dengan aktiviti beli-belah barangan keperluan anak perempuannya Nur Aminah Mishall berbanding isterinya.

Kata Fad atau Fadzlie Nizam, 27, adakalanya dia berada di luar kawalan apabila terlihat pakaian atau aksesori menarik dan cantik untuk dipakaikan kepada anaknya itu.

"Saya sebenarnya memang teruja dapat anak perempuan sebab sebelum ini sudah ada dua anak kembar lelaki.

"Kalau bab beli barangan dia memang saya suka sebab macam-macam hendak dibeli sampai rambang mata dan mengalahkan isteri saya.

"Ibunya pun tak 'over' tetapi bapanya pula yang melebih-lebih," katanya kepada mStar Online.

Fad bersama isteri dan anak-anaknya. Foto Ihsan Instagram @camoraarts.official

Isteri Fad, Nur Syahirah Abdul Rahman, 24, selamat melahirkan Nur Aminah Mishall pada 19 November lalu.

Mereka juga mempunyai sepasang anak kembar lelaki iaitu Favian Adrazin Hayyan dan Favian Adrazin Zayyan kini sudah berusia tiga tahun.

Mempunyai tiga cahaya mata, Fad berkata, dia sedar komitmen dan tanggungjawabnya bertambah dan sebagai ketua keluarga dia perlu bekerja lebih keras.

Bagaimanapun kata Fad, setiap hujung minggu dia akan menolak undangan lakonan atau persembahan pentas kerana ingin memperuntukkan masa bersama keluarganya.

"Kebiasaannya memang saya cuti pada Sabtu Ahad kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga disamping itu dapatlah kurangkan beban isteri yang setiap hari dengan anak-anak.

"Biasanya saya akan duduk dirumah sahaja selain keluar bersiar-siar bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan kami," ujarnya.

Kamal dan Fad galas tugas hos Gegar Lawak.

Dalam perkembangan lain, Fad berkata, dia teruja bakal bertindak sebagai hos program Gegar Lawak bergandingan dengan aktor Kamal Adli.

Kata Fad, dia selesa bekerja dengan Kamal kerana sudah mengenalinya sebelum ini selain pernah terlibat dalam beberapa program hiburan sebelum ini.

"Alhamdulillah ini rezeki anak apabila diberi tanggungjawab menggalas sebagai hos program ini.

"Bergandingan pula dengan Kamal, jadi saya teruja kerana ia menjadi mudah memandangkan saya sudah mengenalinya sebelum ini," katanya.

Gegar Lawak bakal bersiaran bermula 19 Januari ini, pada setiap hari Jumaat, 10 malam di Astro Warna dan Warna HD.

Fad Bocey, Gegar Lawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain