suria

Konsert Amal Zainal Abidin Buat Ooi Eow Jin

Zainal Abidin bakal mengadakan konsert mini bagi mengumpul dana untuk membantu komposer terkenal, Datuk Ooi Eow Jin.

SEMENJAK kisah mengenai Datuk Ooi Eow Jin dilaporkan The Star Online pada Jumaat lalu, banyak pihak tampil untuk membantu keluarga komposer terkenal itu.

Ini termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Zainal Abidin yang menelefon The Star memaklumkan beliau akan mengadakan sebuah konsert mini pada penghujung bulan ini bagi mengumpul dana buat Ooi.

"Ia tiada kaitan dengan bangsa, agama atau pun sebagai seorang pemuzik.

"Saya memberitahu rakan-rakan tiket akan dijual pada harga RM100 dan kebanyakan mereka sanggup membayar asalkan ia untuk tujuan yang baik.

"Insya-Allah akan ada pihak yang bakal menaja. Alhamdulillah sambutan sangat baik dan ramai yang ingin menghulurkan bantuan," katanya.

Ooi menghidap penyakit Alzheimer sejak 2015. 

Zainal yang terkenal dengan lagu Hijau bakal berkolaborasi dengan La Bodega di Jalan Telwai, Bangsar di sini untuk konsert mini berjudul 'La Bodega-Zainal Abidin Live From The Heart' pada 30 Januar ini.

Persembahan bakal bermula pada pukul 10 malam.

Dalam pada itu, Zainal memberitahu pada acara sama turut diadakan jualan lelong CD dan barangan lain yang hasilnya akan terus dimasukkan ke tabung bagi membantu Ooi.

Zainal bakal menyampaikan seleksi lagu popularnya.

Malah kata Zainal, beberapa artis bakal menyertainya pada persembahan itu dan akan menyampaikan seleksi lagu popularnya seperti Ikhlas, Damai, Manis, Kau Dihatiku dan Hijau.

Persatuan Karyawan Malaysia dan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) bakal melawat keluarga Ooi pada minggu hadapan.

Komposer berusia 80 tahun itu kini menderita penyakit Alzheimer sejak 2015.

Beliau kini tinggal bersama isterinya, Datin Elaine Khaw dan anak mereka Raymond, yang juga penghidap kanser otak di Petaling Jaya.

Sebelum ini, pasangan itu kehilangan seorang lagi anak mereka, Ronnie akibat penyakit luekaemia beberapa tahun lalu.

Ooi Eow Jin, Zainal Abidin

Artikel Sebelum

Artikel Lain