suria

Wani Kayrie Sasar Dapat Semua A

Wani Kayrie berharap dia dapat menjadi contoh kepada pelajar di sekolahnya. Foto MOHD SAHAR MISNI.

POPULARITI yang diperoleh ketika ini tidak membuatkan penyanyi Wani Kayrie lupa diri terutamanya dalam menimba ilmu pelajaran. 

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  penghujung tahun ini, Wani menyasarkan untuk mendapat semua 'A' dalam setiap subjek peperiksaan itu nanti. 

Jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya ini, buat masa sekarang dia mengehadkan aktiviti seni iaitu dengan menyertainya pada hujung minggu sahaja agar tumpuan di sekolah tidak terganggu. 

"Sekolah saya antara sekolah yang terbaik dan saya cukup bertuah kerana mendapat bimbingan daripada guru-guru berdedikasi dan sentiasa memastikan para pelajar tidak ketinggalan selain memberi semangat. 

"Saya tidak boleh gagal dan sasaran saya adalah mendapat semua A dalam SPM nanti, Insya-Allah.

Antara artis-artis Suria Records yang hadir pada rumah terbuka syarikat rakaman itu.

"Tambahan pula saya dikenali kerana bergelar artis dan saya perlu menjadi contoh  kepada pelajar lain,”  katanya kepada mStar Online. 

Wani ditemui pada rumah terbuka Suria Records yang diadakan di Cyberjaya pada Jumaat.

Penyanyi berusia 17 tahun ini berkata, demi memastikan mendapat keputusan cemerlang dia mengambil kelas peribadi bersama tutor bagi membolehkan dia mengulang kaji pelajaran dengan baik. 

Dia juga akan memastikan sentiasa membawa buku untuk dibaca sekiranya mempunyai persembahan pentas dan akan menghabiskan masa mengulang kaji sementara menunggu giliran menyanyi. 

"Dalam banyak-banyak subjek, Sejarah yang paling saya bimbang kerana saya tidak suka mengingati fakta. 

"Sebab itu saya sentiasa bawa buku Sejarah untuk dibaca walau ke mana pun saya pergi.

Wani mahu jadi pelajar cemerlang.

"Saya tidak mahu hampakan impian keluarga, guru dan rakan-rakan yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada saya dan akan pastikan saya dapat keputusan cemerlang," ujarnya. 

Sementara itu, Wani berkata, dia juga bertuah kerana syarikat rakaman memahami situasinya sekarang dan memberi kelonggaran bagi membolehkan dia membuat persediaan menghadapi SPM. 

Bagaimanapun kata Wani, dia tidak akan berehat sepenuhnya sehingga SPM selesai  dan masih bergiat aktif terutama pada hujung minggu. 

Dalam perkembangan lain, Wani berkata, dia gembira dengan penerimaan pendengar terhadap single terbaharunya yang berjudul Aku Suka Kamu. 

"Jika tiada aral melintang, Insya-Allah saya akan muncul dengan album penuh selepas habis SPM," katanya.

Wani Kayrie

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain