suria

Rosyam Tegur Belia

Rosyam Nor berharap belia hari ini memanafaatkan penggunaan IT ke arah yang lebih memberi faedah dan memberi pulangan.

PRODUSER Rosyam Nor menegur sikap sesetengah belia hari ini yang tidak mahu mengambil peluang menggunakan kemajuan teknologi maklumat (IT) ke arah perkara mendatangkan faedah.

Kata Rosyam, 50, kebanyakan golongan itu hanya memanfaatkan kemudahan berkenaan untuk melihat perkara kurang berfaedah termasuklah perkara-perkara yang menajdi tular dan hiburan semata-mata.

"Rugilah kalau tak ambil peluang sebab anda semua (belia) hidup di zaman yang hanya memerlukan hujung jari untuk menyebarkan maklumat berbanding zaman saya yang serba-serbi susah.

"Jangan asyik nak tengok benda-benda viral dan hiburan sahaja sedangkan peluang untuk buat duit cukup mudah sekarang dengan adanya IT," ujarnya kepada mStar Online.

Rosyam berkongsi perkara itu selepas dia membuka perniagaan ST Rosyam Mart Sdn. Bhd yang bakal beroperasi pada pertengahan Ogos depan di sekitar Setiawangsa dan Keramat, Kuala Lumpur.

ST Rosyam Mart merupakan sebuah perusahaan berbentuk pasar raya mini yang menjual barang-barang basah dan kering (terutama kelengkapan dapur) dengan harga borong.

Pasaraya ST Rosyam Mart bakal beroperasi pertengahan Ogos depan.

Tambah Rosyam lagi, sikap ambil mudah dan leka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah akan menyusahkan diri apatah lagi zaman semakin mencabar.

"Kalau saya dari kalangan orang yang gagal akademik boleh mengubah kehidupan, kenapa tidak anda?

"Peluang anda cukup besar untuk berjaya di zaman sekarang kalau tahu memanfaatkan IT.

"Paling tidak cuba untuk berbudi pada tanah (bertani), banyak hasilnya yang anda akan dapat, percayalah," pesannya bersungguh-sungguh.

Berkongsi tentang pasaraya ST Rosyam Mart, kata Rosyam idea untuk membuka perusahaan tersebut datang ketika dia mahu menjual hasil tanamannya iaitu nangka dan durian Belanda kepada pihak Sri Tengah (ST) yang berpengalaman hampir 38 tahun dalam bidang pemborongan bahan basah.

Memikirkan ia satu peluang baik untuk kembangkan perusahaan taninya, Rosyam bersama pihak ST mengambil keputusan untuk menjadi rakan niaga dengan mewujudkan ST Rosyam Mart.

Salah satu episod drama mini Choh & Chah yang menggalakkan masyarakat untuk terlibat dalam bidang perniagaan.

"Untuk langkah pertama, saya menyewa 13 lot kedai bagi pasaraya ini di Setiawangsa dan akan membuka dua lagi cawangan sebelum penghujung tahun ini.

"Istimewanya ST Rosyam Mart, selain harganya mengikut harga borong dengan lebih 10 ribu jenis barang yang dijual, kami turut menerima pembayaran melaljui kad debit dan akan turut beroperasi secara atas talian yang diakui lebih efektif," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Rosyam yang kini menerbitkan drama mini bersiri Chor & Chah dengan kerjasama SME Corp Malaysia mengharapkan agar masyarakat tidak melepaskan untuk menonoton drama tersebut di saluran YouTube.

Drama lakonan Saharul Ridzwan, Ummi Nazeera dan Ruhainies itu turut mendedahkan tip-tip perniagaan yang akan menjadi platform penyebaran informasi keusahawanan secara atas talian.

Rosyam Nor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain