suria

Usop Nak Jadi Samseng Pulak Dah!

Usop akui terharu dengan sokongan peminatnya yang berterusan sekalipun tidak lagi berada dalam pertandingan program realiti Mentor Millenia.

AIII... ni dah kenapa pula Usop? Baru reda isu dikatakan tidak melayan pihak media, tiba-tiba nak jadi samseng pula?

Bagaimanapun kata Usop, 20, itu hanyalah pilihan watak seandainya dia ditawarkan untuk bergelar seorang pelakon suatu hari nanti.

"Minat berlakon tu ada tapi kalau boleh saya nak watak hero saja (ketawa).

"Tapi kalau watak jenaka seperti gangster (samseng) kampung pun okey juga sebab saya percaya watak sebegini mudah nak menonjol," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun kata Usop, itu pun kalau dia diberi tawaran untuk memilih watak kerana pada waktu ini, dia masih belum menerima mana-mana tawaran berlakon.

"Seandainya ada tawaran, saya terima apa sahaja watak yang diberikan. Siapalah saya untuk memilih," katanya.

Usop berterima kasih kepada Datuk Rosyam Nor kerana memberi kepercayaan untuk dia menyanyikan lagu tema bagi drama youtube, Choh & Chah.

Dalam pada itu Usop atau Muhammad Saiful Naim Muhd Noor mengakui tidak mudah untuk dia bergerak sendiri tanpa bernaung bawah mana-mana label apatah lagi usianya yang masih hijau dalam industri.

Pun begitu dia akui mentornya iaitu Hazama banyak membantu dalam dijadikan sebagai tenpat merujuk untuk satu-satu perkara.

"Biarpun bergerak sendiri, saya masih merujuk kepada abang Hazama dalam membuat satu-satu keputusan.

"Sekarang saya masih berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur dan perkara ini sedikit menyukarkan dan insyaAllah saya merancang untuk menetap di Kuala Lumpur pada Ogos depan," katanya.

Di satu sisi, kata Usop dia terharu dengan sokongan berterusan peminat biarpun sudah tidak lagi berada dalam pertandingan program realiti tersebut.

Buktinya kata Usop, rumahnya diserbu pada sambutan Aidilfitri lalu umpama sedang mengadakan sebuah kenduri.

"Tak sangka ramai yang datang dan Usop minta maaf seandainya ada mana yang kurang layanannya," ujar Ucop.

Menyentuh perkembangan seninya pula, kata pemuda kelahiran Kulim Kedah ini, dia bersyukur kerana produksi Suhan Movies Production memberi peluang untuk dia menyanyikan lagu tema bagi drama YouTube Choh & Chah berjudul Matahari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain