suria

“Eh… Tak Baik Cakap Macam Tu” – Azza (Elite)

Azza (Elite) kini sibuk dengan perniagaannya.

LAMA tak dengar perkembangan cerita Azza Elite. Namun, pada zaman sekarang tidak susah kerana setiap aktiviti artis boleh ‘diteropong' terus di laman Instagram mereka.

Apabila tengok perkembangan Azza, 39,  timbul pula spekulasi kononnya bekas penyanyi kumpulan Elite ni bekerja kuat untuk menanggung keluarga dan mempersoalkan, di mana suaminya?

Berkesempatan berjumpa figura yang sentiasa mesra dan lucu ini, sempatlah bertanyakan perkara itu untuk kesahihan dan Azza tenang menjawab.

Azza bersama suami tersayang iaitu Azlan yang menjadi tulang belakangnya.

"Eh, tak baik cakap macam tu. Suami saya sentiasa ada menjadi tulang belakang di mana kami sekarang sama-sama sibuk menguruskan perniagaan produk keluaran Azza Elite Empire HQ antaranya Azza Elite Make-up Base, Azza Elite Talkum dan banyak lagi.

"Sebagai artis dan lebih dikenali, di sini saya berperanan untuk mempromosikan barang dan seharusnya saya yang lebih menonjol kerana banyak di depan.

"Berbanding suami, dia uruskan bahagian pemasaran dan kami ada tugas masing-masing dalam memperkenalkan lagi produk-produk daripada Azza Elite Empire HQ," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Azza atau Azza atau Nor Azzarima Zawari berharap masyarakat tidak terus melemparkan persepsi sebegitu kerana di zaman sekarang tidak kira suami atau isteri harus sama-sama kuat bekerja demi menyara kos hidup yang semakin meningkat.

Azza dan suami iaitu Azlan Zulaily, 30, berkahwin pada 1 April 2012 dan ini merupakah perkahwinan kedua buat Azza.

Sementara itu, Azza ketika ditanya mengenai perkembangan kerjaya seni terbarunya berkata, dia beruntung kerana dipilih menjadi antara artis untuk mengacarakan sebuah program 37 episod berbentuk jual beli secara terus di televisyen yang dikenali sebagai Laku Mall HD.

Ia merupakan saluran TV membeli-belah terbaharu dalam bahasa Malaysia terbitan Hypp TV (Saluran 123). Turut bersama mengacara program tersebut ialah Dynas Mokhtar dan Iskandar NG.

Mengenai perancangan untuk kembali menyanyi, kata Azza sebelum ini dia pernah menghasilkan sebuah single namun tidak dipromosi secara bersungguh-sungguh kerana ketika itu baru sahaja mengambil keputusan untuk berhijab.

"Untuk menyanyi, buat masa sekarang saya perlahankan dulu tapi saya kembali berlakon  antaranya drama arahan Jamal Khan berjudul Isteri-Isteri Ayah  untuk slot Iris TV3 dan beberapa drama lain yang sedang menunggu tayangan di televisyen,” katanya.

Azza Elite

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain