suria

Rezeki Tak Menjadi Di Negara Sendiri - Harris Baba

Sungguhpun semakin berjaya dalam dunia lakonan, Harris tetap menjadikan bidang nyanyian sebagai karier utama.

KUALA LUMPUR: Seakan-akan hampa dengan nasib yang menimpa diri, penyanyi dan pelakon Harris Baba akhirnya akur apabila bakat seni yang dimilikinya tidak diterima di negara sendiri.

Menurut selebriti kelahiran Singapura itu, dia sendiri masih tertanya-tanya mengapa laluan untuknya mengembangkan bakat di sana begitu sukar hingga terpaksa mencuba nasib di Malaysia.

Harris Baba kini pertaruhkan single kedua berjudul Parah.

"Hingga kini saya sendiri masih tanya pada diri sendiri. Tapi hakikatnya begitulah, keadaan tak berapa bagus untuk saya di sana.

"Karier saya bermula di Singapura selama setahun lebih sebelum berhijrah ke Malaysia, tapi tak menjadi.

"Di sana mereka tak begitu terbuka untuk beri saya peluang. Lebih menarik semalam (Khamis) buat pertama kali saya ditemubual oleh sebuah stesen radio Singapura," katanya kepada mStar Online.

Harris atau nama penuhnya Khawaja Mohammad Harris Baba, 27, ditemui pada majlis pelancaran single keduanya berjudul Parah di Red Box The Gardens pada Jumaat.

Selepas dua minggu lirik video lagu ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Ezra Kong dan Romeo itu dimuat naik di YouTube, ia telah ditonton lebih 300,000 kali.

Berbeza dengan single pertamanya dahulu yang berjudul Katakan, lagu baharu ini menampilkan gabungan dua elemen muzik iaitu Hindi dan Melayu.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kariernya di Malaysia, Harris berkata dia bersyukur apabila pintu untuknya mencari rezeki sentiasa terbuka.

"Memanglah saya rasa kecewa kerana tak diterima di negara sndiri. Itu sangat menyedihkan.

"Tapi saya berterima kasih kepada industri di Malaysia. Negara ini terima saya dengan baik dan bagi peluang lebarkan bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan.

"Ia buatkan saya lebih bersemangat untuk lakukan yang terbaik," katanya.

Harris Baba

Artikel Lain