suria

Nyanyian Dikritik, Fazura Tetap Mahu Jadi Penyanyi

Fazura dan bersama penyanyi dari Filipina, Jason Dy. FOTO: S.S.KANESAN

KUALA LUMPUR: Biarpun sering menerima kecaman terhadap suara dan nyanyiannya, aktres Fazura tetap dengan pendiriannya mahu mengejar impian sebagai penyanyi. 

Fazura, 34, berkata, dia mengambil kritikan-kritikan tersebut untuk memperbaiki diri dan menjadi seorang penyanyi yang lebih baik. 

"Dalam hidup kita ni kalau kita suka asam laksa dan orang tidak suka, ia tidak bermakna kita perlu ikut juga untuk tidak suka seperti mereka. 

"Jika apa yang kita lalukan ada rintangan, kita boleh pilih untuk belajar dan perbaikinya atau kuburkan sahaja impian itu. Saya pilih untuk belajar dan percaya pada impian saya," ujarnya kepada mStar Online. 

Fazura mengulas tentang kerjaya nyanyiannya yang semakin berkembang apabila muncul dengan beberapa lagu baharu biarpun sering menerima kritikan. 

Penyanyi lagu Hancur Aku ini berkata, dia mahu kerjaya nyanyiannya berjalan seiring dengan lakonan.

Fazura dan Jason Dy semasa pelancaran muzik video mereka Nothing Like Pag-Ibig. 

Fazura ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu terbaharunya berjudul Nothing Like Pag-Ibig yang merupakan lagu duet bersama penyanyi Filipina Jason Dy. 

Bercakap tentang lagu berkenaan, Fazura berkata, ia juga merupakan hadiah buat peminat-peminatnya di negara tersebut. 

"Lagu ini idea daripada pihak rakaman kami iaitu Universal Music, dan saya setuju untuk membuat kolaborasi dengan Jason Dy kerana dia salah seorang artis terkenal di negara itu. 

"Lagi pula, saya mahu hadiahkan lagu ini kepada peminat-peminat saya di sana," ujarnya. 

Menurut Fazura, lagu berbahasa Inggeris itu melalui proses rakaman di Filipina pada Oktober tahun lalu. 

Sementara itu, Jason berkata, dia begitu teruja diberi peluang untuk bekerjasama dengan Fazura dalam kolaborasi ini. 

Ditanya pendapatnya tentang aktres berkenaan, Jason berkata, Fazura merupakan seorang selebriti yang serba boleh. 

"Fazura merupakan artis luar negara pertama yang berkolaborasi dengan saya. 

"Saya ada buat research tentang dia dan tahu Fazura bukan sahaja penyanyi, tapi pelakon filem dan drama di sini, dia juga mempunyai suara yang sangat sesuai dengan lagu ini," ujarnya. 

Sementara itu, lagu ini akan dinyanyikan secara langsung di Festival Filem Antarabangsa Asean yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada Sabtu ini.

Fazura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut