suria

Aizat Bawa Bapa Tinggal Di Rumah Baharu

Aizat Amdan mahu jaga bapa.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Aizat Amdan akan membawa bapa kandungnya Datuk Amdan Mat Din untuk tinggal bersama di rumah baharu yang didudukinya kini.

Aizat, 28, berkata, sebagai anak lelaki, dia menganggap ini merupakan masa yang sesuai untuk mengalas tanggungjawab menjaga bapanya yang kini sudah berusia 60 tahun.

"Saya baru pindah dari rumah ibu saya sejak lapan bulan lalu dan Insya-Allah tidak lama lagi, saya akan bawa ayah tinggal bersama-sama di rumah itu.

"Dia pun kini sudah tidak bekerja dan tinggal sendiri, jadi saya berpakat dengan adik beradik bahawa ini masanya kami menjaganya. Ibu saya kini tinggal bersama ayah tiri," ujarnya kepada mStar Online.

Aizat berkata, dia mengambil keputusan untuk tinggal di rumah sendiri pada Ogos lalu bagi menjalani kehidupan secara berdikari.

Aizat Amdan sesuaikan diri hidup berdikari.

Sementara itu Aizat berkata, dia semakin dapat menyesuaikan diri selepas beberapa bulan hidup sendiri.

Katanya, tiga bulan pertama, dia tidak menghubungi ibu untuk benar-benar memberi rasa rindu kepada keluarganya.

"Pada tiga bulan pertama saya sengaja tidak menghubungi ibu kerana nak tengok dia rindu atau tidak bila saya pindah. Lagi pula saya juga ingin biasakan diri, maklumlah 26 tahun saya duduk dengan mereka," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aizat berkata, dia kini dalam usaha mengembangkan projek dikenali kilang komposer yang  bertujuan memberi platform kepada pencipta lagu baharu.

Katanya, projek tersebut adalah bagi memberi pendedahan kepada komposer baru tentang proses hak cipta mereka.

"Projek ini mengumpulkan penggemar muzik yang berminat untuk menceburi bidang ini secara serius. Selain saya, Yuna turut menyokong projek ini.

"Yuna pernah berkongsi tentang susah payah dia ketika berada di luar negara, saya sendiri terkejut dengan apa yang Yuna kongsikan kepada mereka," ujarnya.

Tambah Aizat, dia juga mempelawa beberapa rakan artis yang lain seperti Faizal Tahir untuk menyertai projek berkenaan.

Aizad Amdan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain