suria

"Bagi Watak Apa Pun Boleh" - Buntat

Filem Jibam lakonan Ariff bakal menemui penonton pada September depan. -foto LOW BOON TAT / The Star

PETALING JAYA: Muncul kali pertama menerusi watak Buntat dalam drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, Muhammad Ariff Abdullah mengakui mula memasang cita-cita untuk terus melebarkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Menurut remaja berusia 13 tahun ini, dia semakin minat untuk berlakon dan sedia menggalas pelbagai watak yang ditawarkan.

"Bagi watak apa pun saya boleh, saya akan cuba. Watak budak jahat atau budak yang kena buli pun OK," katanya kepada mStar Online.

Sungguhpun menghidap disleksia iaitu sejenis masalah gangguan pembelajaran, Ariff berjaya menghidupkan watak Buntat dengan baik menerusi drama berkenaan hingga mencetuskan fenomena di kalangan penonton awal tahun tahun ini.

Ariff mendapat tunjuk ajar dalam bidang lakonan daripada wakil Aswara.

Terbaharu, Ariff bakal muncul dengan filem sulung berjudul Jibam yang dijangka menemui penonton sekitar September depan.

"Sebenarnya pertama kali saya berlakon adalah dalam filem Jibam. Selepas itu baru drama 7 Hari Mencintaiku.

"Pada mulanya susah juga nak berlakon, terutama watak apabila Jibam dipukul dan didera dalam filem itu," kata Ariff yang ditemani bapanya, Abdullah Kasim, 53.

Tambah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahawangsa, Jitra, Kedah itu, bakat lakonannya diasah oleh seorang tenaga pengajar daripada Akademi Seni Negara dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Saya seronok berlakon sebab ada cikgu yang ajar. Dia ada bersama saya ketika pengambaran filem Jibam," katanya.

Bercerita mengenai kehidupannya selepas dikenali ramai menerusi watak Buntat, Ariff berkata dia menjalani rutin harian seperti biasa seperti sebelum bergelar pelakon.

"Saya ke sekolah macam biasa. Ada juga kawan-kawan dan guru yang panggil saya dengan nama Buntat, saya tak kisah pun sama ada orang nak panggil Ariff atau Buntat.

"Kadang-kadang bila keluar, ada juga yang tegur dan minta bergambar dengan saya," katanya sambil memberitahu belum menerima tawaran baharu untuk membintangi drama atau filem.

Salah satu babak dalam filem Jibam yang menampilkan Ariff sebagai tunjang utama.

Sementara itu menurut bapanya, Ariff mempunyai bakat lakonan yang luar biasa walaupun dia tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU).

"Saya dan isteri pun tak menyangka dia ada kebolehan berlakon. Malah dia berjaya menghafal dialog dengan baik dalam masa 10 hingga 15 minit.

"Ketika berada di lokasi, dia sentiasa bersedia untuk masuk ke set pengambaran walaupun pada waktu malam atau awal pagi," katanya.

Tambah Abdullah, bakat anaknya itu dikesan seorang kartunis bernama Ujang yang secara kebetulan sedang mencari seorang kanak-kanak lelaki untuk menjayakan watak budak lembam.

Selepas berjaya melepasi sesi uji bakat, Ariff memulakan sesi pengambaran filem Jibam arahan Che Mie pada Februari 2016.

Buntat

Artikel Lain