suria

Artis Popular Bakal Meriahkan Temu Duga SL1M

Barisan artis yang terlibat dalam Program Temuduga SL1M.

KUALA LUMPUR: Skim Latihan 1Malaysia (SK1M) di bawah Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan Program Temud Duga Terbuka SL1M Peringkat Zon Utara dan Festival Keusahawanan Industri Asas Tani 2017 pada Jumaat dan Sabtu ini.

Program yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah itu akan melibatkan barisan artis popular seperti Faizal Tahir, Aizat Amdan, kumpulan Zero, Projector Band Khalifah Band dan Azlan & The Typewriter.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff berkata, program itu terbuka kepada seluruh graduan dan pencari kerja khususnya yang berada di Kedah dan kawasan-kawasan sekitar.

"Program ini menawarkan ribuan peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan peringkat kelulusan.

"Beberapa artis popular juga dijemput untuk memberi motivasi dan ceramah kepada pengunjung tentang industri seni yang boleh memberi inspirasi kepada mereka," ujarnya.

Beliau ditemui pada sidang media Program Temuduga SL1M Peringkat Zon Utara dan Festival Keusahawanan Industri Asas Tani 2017, yang diadakan di Hotel Impiana KLCC di sini pada Selasa.

Tambahnya, program temuduga akan dijalankan secara langsung oleh syarikat terlibat.

"SL1M menjemput semua graduan seluruh negara untuk merebut peluang ini bagi sama-sama berusaha meningkatkan tahap kebolehpasaran diri dengan mendapatkan peluang pekerjaan yang sesuai.

"Selain daripada tawaran peluang pekerjaan oleh syarikat, program ini turut membawa pelbagai peluang peningkatan pendapatan melalui bimbingan perniagaan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan," ujarnya.

Sementara itu, Aizat Amdan berkata, dia akan menyampaikan ceramah motivasi berkaitan industri muzik tanah air.

Dia juga mahu memberi pendedahan kepada anak-anak muda yang berminat ingin menceburkan diri dalam bidang seni.

"Saya akan memberi ceramah tentang beberapa perkara kepada yang berminat dalam bidang muzik. Selain itu mungkin cara-cara untuk mencipta lagu dan melindungi hak cipta masing-masing daripada diciplak," ujarnya. 

SL1M

Artikel Lain