suria

Popular Pun Bimbang? Itulah Wany Hasrita

Wany Hasrita

PETALING JAYA: Pendatang baharu iaitu Wany Hasrita meluahkan rasa bimbang tempias populariti diterimanya pada waktu yang singkat.

Wany, 25, berkata, paling ditakuti seandainya peminat mula menyalahtafsirkan karakter dirinya seorang yang ceria kepada sesuatu tanggapan kurang manis.

"Jujurlah Wany ada sedikit rasa takut apabila tiba-tiba nama Wany dikenali kerana ini secara tidak langsung akan menjadi perhatian dan diperkatakan.

"Bayangkan sampai sekarang boleh dikatakan setiap pagi selepas bangun tidur, Wany akan meluahkan rasa takut itu kepada ibu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Wani atau Nurshazwany Hasrita Abdullah, dia tidak risau soal gosip yang tidak berasas kerana dia sentiasa ditemani ibu dan wakil syarikat rakaman yang dapat menepis perkara tidak baik.

Bagaimanapun kembimbangannya kerana sikap lincah dia sebagai artis berhijab yang memungkinkan orang ramai memberi pelbagai tohmahan.

"Wany artis berhijab, kalau kita nampak aktif dan 'gila-gila' sikit, ada yang mula memberi andaian yang bukan-bukan," katanya.

Wany Hasrita

Ujar Wany, pernah beberapa kali dia menerima kritikan keras netizen di laman sosial hanya semata-mata imejnya yang berhijab tetapi bergelar seorang penyanyi.

"Awalnya geram juga namun Wany tahu apa hak Wany nak tutup mulut orang kerana tidak semua yang akan suka kita, betul tak?

"Di sini,  ibulah yang akan menjadi penguat semangat dan menasihati Wany agar abaikan kritikan yang boleh buatkan kita rasa sedih," kata anak tunggal ini.

Di sisi lain, Wany yang popular dengan lagu Menahan Rindu  sedang menunggu keputusan peperiksaan akhir dalam bidang Sains Perubatan di Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) Shah Alam.

"InsyaAllah kalau lulus, Wany akan melalui majlis konvokesyen tidak lama lagi dan Wany mohon doa peminat agar terus mendoakan kejayaan Wany baik dalam lapangan pendidikan mahupun nyanyian,” katanya.

Terbaharu, selepas kejayaan single Menahan Rindu, penyanyi naungan syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC) ini  bakal mengeluarkan single duet terbaru bersama Tajul Ariff berjudul Di Sana Cinta Di Sini Rindu hujung April depan.

Klip video lagu Menahan Rindu nyanyian Wany terbitan syarikat rakaman FMC yang dimuat naik di YouTube pada Disember tahun lalu kini ditonton melebihi 7 juta kali tontonan.

Wany Hasrita

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain