suria

Brian Dapat Tajaan Sambung Sarjana

Brian Cheng dalam proses menyambung pelajarannya ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengurusan Makanan.

PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM Brian Chen dalam proses menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan seterusnya ke Ijazah Doktor Falasafah  (PhD) dalam bidang pendidikan.

Brian, 31, berkata, sejak dahulu misinya mahu menyedarkan masyarakat terutamanya kanak-kanak betapa pentingnya hal pengurusan pemakanan untuk dipraktikkan dalam keluarga.

“Saya bertuah kerana misi saya itu mendapat perhatian pihak Open University Malaysia yang sedia menaja biasiswa bagi pengajian saya ini,” katanya kepada mStar Online.

Tambah anak sulung dua beradik ini lagi, dia banyak berkongsi pandangan bersama rakan artis seperti Soo Wincci yang memiliki PhD dalam merealisasikan hasratnya itu.

Brian sebelum ini pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan dan kewangan serta diploma masakan dan pastri.

Pengajiannya peringkat sarjana akan dilakukan pada Mei depan.

Brian sebelum ini pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan dan kewangan serta diploma masakan dan pastri.

Mengenai tugasnya sebagai penyampai Suria FM, Brian berkata, pengalaman ditegur pendengar ketika mengendalikan segmen berbentuk hiburan, 'Ceria Suria' (kini Menu Suria) pada awal penglibatannya merupakan pengalaman berguna.

Katanya, ketika itu dia tidak terlalu mengikuti perkembangan artis Melayu dan Indonesia, namun setiap kali melakukan kesilapan, pendengar segera menelefon dan membetulkan kesilapannya.

“Saya rasa cukup terharu dan bertuah ketika itu ada pendengar sanggup membantu menegur setiap kesilapan saya secara live dan saya tidak merasakan ia sesuatu yang memalukan.

“Pernah saya ditegur pendengar kerana tersilap menyebut nama penyanyi Once (disebut On-Che) seperti mengikut ejaan Inggeris (ONCE upon a time) dan ia satu pengalaman yang melucukan namun cukup berharga,” katanya.

Selain segmen Menu Suria, Brian atau mesra dengan nama samarannya Abang Brian turut mengendali segmen Inspirasi Suria yang mengetengahkan kata-kata mutiara dan nasihat daripada pakar motivasi untuk dijadikan renungan.

Dalam perkembangan lain Brian bersama penyampai Suria FM yang lain akan menemui para pendengar pada siri Jelajah Suria 10 Tahun Sabtu ini di Mydin Mall, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Program berkenaan akan berlangsung dari pukul 1 tengah hari hingga 6.30 petang.

Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Ella, Tajul, Ronnie Hussein, Black Hanafiah, Wany Hasrita, Sarah Fazny dan Azian Mazwan Sapuwan.

Brian, Suria FM

Artikel Lain