suria

Hael Husaini Teruja Lagu Ciptaannya Diterima Dayang Nurfaizah

Hael Husaini teruja lagu gubahannya berjudul Dia terpilih untuk dimasukkan ke dalam album terbaharu Dayang Nurfaizah. Foto Instagram @haelhusaini

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Hael Husaini teruja apabila lagu gubahannya akan tersenarai dalam album terbaharu Dayang Nurfaizah yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Hael, 29, berkata, lagu berjudul Dia itu memang dihasilkan khas untuk Dayang kerana mengagumi kekuatan vokal penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak itu.

"Sebagai orang baru dalam lapangan penciptaan lagu, saya anggap ia satu pencapaian besar dalam kerjaya seni saya apatah lagi mengetahui Dia tersenrai dalam album Dayang.

"Jujur saya mengagumi bakat dan suara Dayang selain berharap peluang ini akan memberi lebih ruang untuk memperkenalkan nama saya sebagai komposer di masa akan datang.

"Pengalaman bekerjasama dengannya amat menyenangkan," katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Dayang Nurfaizah.

Selain Dayang, Hael atau Hal Husaini Razmi yang juga bekas anggota kumpulan duo Azhael sebelum ini turut pernah mencipta lagu untuk beberapa penyanyi lain seperti Ameera Othman, Nabila AF, Indah Ruhaila dan Dafi.

Dalam perkembangan lain, kata Hael, selepas hampir dua bulan bergerak sendiri, dia kini semakin selesa dan mampu membawa diri tanpa kehadiran rakan duetnya Azhar.

Malah katanya, hubungan dengan Azhar juga tidak pernah bermasalah seperti dikatakan sesetengah pihak namun kesibukan masing-masing membuatkan mereka jarang berkesempatan untuk berjumpa.

Hael yang kini tampil dengan single terbaharu iaitu Jampi berharap lagu tersebut mampu menonjolkan sisinya sebagai penyanyi solo.

"Saya berharap dengan Jampi, peminat akan lebih tahu hala tuju muzik dan identiti saya selepas ini yang lebih matang berbanding sebelum ini.

"Alhamduillah lagu ini mula diterima baik walaupun pada awalnya kedengaran seperti mempunyai unsur khurafat tetapi sebenarnya ia mengisahkan bagaimana aura sebuah cinta boleh memukau seseorang umpama terkena jampi," katanya.

Selain itu, Hael juga akan terlibat sama dalam persembahan An Intimate Evening with Afgan &The Gandarianz sebegai penyanyi jemputan di Royal Chulan Kuala Lumpur pada 27 April depan.

Hael Husaini, Dayang Nurfaizah, Jampi

Artikel Sebelum

Artikel Lain