suria

Malique Perjelas Kulit Album Lambang Mata Bukan Dajjal

Kulit album Malique berjudul TKO:Pejamkan Mata yang mencetuskan kontroversi. Foto Ihsan WARNER MUSIC MALAYSIA

PETALING JAYA: Penyanyi rap dan komposer Malique menjelaskan kulit album tiga mata album terbaharunya berjudul Malique TKO: Pejamkan Mata yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen sebenarnya membawa maksud sebagai mata hati.

Malique berkata, apa cuba disampaikan menerusi gambar mata ketiga itu ialah tidak menghukum sesuatu perkara menerusi mata luaran, sebaliknya menggunakan mata hati.

"Kulit album yang mempunyai mata tiga ini mempunyai tafsiran berbeza, sebenarnya mata ketiga itu adalah mata hati.

"Mungkin ramai tidak tahu mesej cuba disampaikan iaitu jangan menghukum sesuatu hanya pada luaran dan permukaan.

"Sebaliknya pandang dengan mata ketiga iaitu mata hati untuk menyelami dasarnya dan memahami isinya," ujarnya menerusi satu kenyataan media kepada mStar Online.

Malique.

Terdahulu, sejak album ini dikeluarkan secara dalam talian, pelbagai reaksi negatif mencemuh kulit album tersebut sebagai menyerupai makhluk Dajjal.

Album diedarkan secara online sejak Disember tahun lalu itu habis terjual hanya dalam beberapa minggu sahaja.

Dalam pada itu, lagu duet bersama Dayang Nurfaizah berjudul Pejamkan Mata kini semakin mendapat perhatian stesen radio tempatan.

Lagu tersebut mengutarakan perihal masyarakat dunia masa kini yang semakin banyak masalah.

Selain itu, album ini juga merupakan album bahasa Melayu terakhir daripada bekas anggota kumpulan Too Phat itu.

Malique memberitahu dia bakal keluar dengan album bahasa Inggeris yang dijangka bakal dilancarkan pada tahun hadapan.

Malique, TKO: Pejamkan Mata

Artikel Lain