suria

Ummi Nazeera & Aeril Zafrel Bermasam Muka

Aeril Zafrel dan Ummi Nazeera digandingkan sekali lagi dalam drama Nahu Rindu yang kini sedang ditayangkan di slot Zehra di TV3.
PETALING JAYA: Pelakon Ummi Nazeera mendedahkan hubungan akrabnya dengan aktor Aeril Zafrel pernah bertukar dingin ketika mereka sama-sama digandingkan dalam drama bersiri Nahu Rindu.

Ummi berkata, pergaduhan tercetus gara-gara timbul salah faham berhubung karakter mereka namun menyifatkan ia situasi yang tidak sepatutunya berlaku.

"Salah faham itu timbul berhubung watak kami apabila saya fikir lain dan dia pula sebaliknya sehingga kami bergaduh.

"Beberapa hari juga kami tak bertegur sapa sehingga ada kru bertanya kerana kebiasaannya kami memang sentiasa ceria memandangkan kami bersahabat baik.

"Itu juga kali pertama saya bermasam muka dengan hero gandingan saya dan Aeril pula kawan baik saya," katanya kepada mStar Online.

Nahu Rindu
sedang ditayangkan di slot Zehra setiap hari Rabu hingga Jumaat pada pukul 9 malam di TV3.

Hubungan baik Ummi dan Aeril renggang ketika menjalani penggambaran Nahu Rindu.

Selain Ummi dan Aeril ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Syazwan Zulkifly, Putra Amaris, Zulin Aziz, Fauziah Nawi, Marisa Yasmin dan Zulkifli Ismail.

Aktres berusia 27 tahun itu juga berkata, gara-gara kejadian tersebut kru mula bertanya tentang apa terjadi di antara mereka berdua.

Bagaimanapun jelas Ummi, pergeseran itu tidak berlarutan dan mereka kembali berbaik selepas beberapa hari tidak bertegur sapa.

"Emosi saya ketika itu tidak berapa stabil ditambah dengan beberapa masalah yang perlu saya tangani selain tekanan ketika penggambaran Nahu Rindu.

"Aeril dan saya kawan baik dan apabila kami tak bertegur sapa orang mula tertanya-tanya apa yang terjadi.

"Kami tak saling meminta maaf pun sebaliknya hubungan itu kembali pulih secara semula jadi kerana kami berkawan baik dan saling memahami," jelasnya.

Ummi Nazeera.

Sementara itu, Aeril pula ketika dihubungi memberitahu perselisihan faham berlaku kerana masing-masing mempunyai hubungan rapat dan kadang-kala terlupa untuk menjaga batasan kata.

"Ummi adalah rakan baik saya dan ini adalah kali ketiga kami digandingkan sebagai pasangan hero dan herion dalam drama.

"Hubungan akrab itu kadang-kadang buat kita terlupa untuk jaga kata-kata sehinggakan kita senang terusik dan lebih sensitif.

"Tetapi hubungan kami masih kekal baik seperti dahulu dan sebagai pengajaran saya perlu lebih berhati-hati dalam kata-kata dan perbuatan walaupun mempunyai hubungan rapat dengan seseorang," katanya.

Kata Aeril, salah faham itu sebenarnya telah membantu mereka mendalami babak dalam Nahu Rindu yang kebetulan memerlukan kekuatan dan ketegangan emosi.

"Alhamdulillah rasanya saya dan Ummi berjaya menghidupkan babak di mana kami memang sedang dilanda masalah dan ada ketegangan dalam karakter masing-masing.

"Malah respons yang saya dapat berhubung babak itu daripada peminat cukup baik dan ramai mengatakan kami benar-benar menjiwai watak sebagai Kasyaf dan Nazira," ujarnya.

Artikel Lain